KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga asnaf di Kampung Iboi, Baling, Kedah.
Ia berikutan bencana banjir yang berlaku baru-baru ini dan sumbangan itu disampaikan Setiausaha Sulit Kanan, Kol. (B) Datuk Nazim Mohd Alim semalam.
Perkara itu dimaklumkan Istana Negara menerusi perkongsian di laman Facebooknya.
“Seri Paduka menzahirkan harapan semoga kurniaan itu dapat membantu mengurangkan beban mereka,” menurut kenyataan itu.
Seri Paduka turut bertitah, Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara yang diketuai Juruiring Tentera Udara, Brig. Jen. Datuk Mohamed Zahari Yahya untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang terkesan.
Selain menjejaskan 41 kawasan di daerah itu, kejadian banjir dan fenomena kepala air pada 4 Julai lalu itu turut mengorbankan tiga nyawa. – UTUSAN