KUANTAN: Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis perasmian dan penamaan kompleks Markas Angkatan Bersama (MAB) di Jalan Panching, di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, Al-Sultan Abdullah berkenan menandatangani plat penamaan kompleks MAB sebagai Kem Al-Sultan Abdullah yang dinamakan sempena nama Seri Paduka Baginda.
Pembinaan kem itu telah dirancang sejak 2007 dan pemilihan lokasi di Sungai Panching di sini dengan kawasan seluas kira-kira 39.56 hektar dilihat bersesuaian kerana kedudukan kem dan pangkalan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara yang sedia ada di daerah Kuantan diyakini akan secara langsung dapat menyokong pengoperasian MAB.
Projek pembinaan Kem Al-Sultan Abdullah siap pada 25 April 2019 dan diserahkan kepada MAB pada 11 Jun 2019 manakala majlis pengoperasian kem dilaksanakan pada Julai 2019.
Kem terbabit menempatkan lebih 300 pegawai dan anggota pelbagai peringkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
MAB diwujudkan untuk mengendalikan tugas berdasarkan kepada konsep penugasan bersama yang bersifat tiga khidmat dalam perkhidmatan ATM.
Selain itu, markas terbabit juga berperanan untuk menyelaraskan keperluan ATM dalam operasi dan misi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) manakala konsep Assigned Force yang dipraktikkan meletakkan komponen-komponen tempur setiap perkhidmatan di bawah pemerintahan serta kawalan operasi Panglima Angkatan Bersama (PAB).
Secara amnya trup dan aset perkhidmatan yang ditugaskan adalah berdasarkan keperluan keselamatan atau ancaman situasi semasa.
MAB berfungsi sebagai sebuah Pemerintahan Peringkat Operasi yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan semua Operasi Bersama, Operasi Berkemungkinan Bersama, Operasi Gabungan, Operasi Bersepadu dan Operasi Pelbagai Negara seperti operasi di bawah Piagam PBB.
Markas terbabit juga terlibat melaksanakan eksesais bersama dengan angkatan tentera dari negara-negara sahabat yang lain.
Bersempena majlis itu, baginda turut menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota yang diketuai oleh Mejar Mohd. Noorazmin Abd. Rahim.
Seri Paduka turut dipersembahkan gimik acara pelancaran melibatkan gabungan aset dan aksi penerjunan anggota khas dari ketiga-tiga perkhidmatan ATM melibatkan pasukan yang dari Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP), Kor Armor Diraja, 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize), Skuadron Semboyan Briged dan Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia.
Aset yang digunakan adalah pesawat helikopter EC 725, kenderaan FFR GK MK1 dan motosikal scrambler.
Baginda dalam masa sama turut dipersembahkan dengan taklimat berhubung peranan serta fungsi MAB bertempat di Pusat Operasi Bersama (POB) serta berkesempatan berinteraksi secara sidang video dengan pegawai dan anggota ATM yang sedang melaksanakan tugas Operasi Pasir di Sabah serta yang bertugas di misi PBB.
Mengiringi baginda dalam majlis berkenaan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Indera Yazid Arshad. – UTUSAN