KUALA LUMPUR : Pemergian Allahyarham, SIti Sarah Raissuddin hampir setahun lalu nyata masih membuatkan ramai masih merindui arwah termasuk ibu tiri Allahyarham iaitu, Siti Fatimah Suberi yang kini menggalas tanggungjawab menguruskan perniagaan milik arwah.
Siti Fatimah, 35, atau mesra disapa Makde berkata, perasaan tersebut akan tiba-tiba muncul di sela waktu.
“Kadangkala kalau teringat, tak semana-mana boleh menangis. Ada ketika bila rasa ‘down’, akan ingatkan dia. Iyalah, semua benda kami lakukan bersama.
“Bukan sahaja sebagai satu keluarga, tapi juga sebagai teman bicara tempat meluahkan apa sahaja.
“Hampir setahun dia tinggalkan kita semua, namun sampai hari ini perasaan rindu itu tidak boleh saya ungkap dengan kata-kata,” katanya.
Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat Covid-19 pada 9 Ogos tahun lalu.
Makde bagaimanapun perlu kuat untuk membangunkan perniagaan yang diusahakan bersama arwah sebelum ini.
“Kalau boleh saya kongsi, pada awal arwah pergi, jualan naik mendadak. Sehingga tudung dan pakaian Muslimah dalam gudang habis terjual.
“Kemudian kami lakukan beberapa strategi promosi lain seperti mengunakan khidmat Anzalna. Sedikit demi sedikit saya juga mulai ke depan untuk sama-sama menaikkan jenama ini.
“Saya percaya kepada proses penjenamaan itu sendiri. Alhamdulillah, progres yang baik dari semasa ke semasa. Ya, kami sedar arwah penggerak utama dalam Loveta dan Ratasya Cosmetics.
“Namun besar harapan dan doa kami agar legasi yang diusahakan Allahyarham akan terus berjalan dengan baik hasil sokongan semua, insya-Allah,” katanya.
Pada masa sama, Makde bertuah kerana mempunyai ‘team’ yang komited dan berdedikasi.
“Sejak dahulu kami tekankan soal kualiti hingga kini mempunyai kelompok peminat sendiri. Kebaikannya disampaikan dari mulut ke mulut.
“Jadi permintaan itu ada dan kami cuba teruskan untuk berikan yang terbaik.
“Suami (bapa Sarah) dan Shuib pun ada kongsi idea juga. Jadi sistem sokongan dari mereka yang terdekat turut sama membantu, syukur,” katanya lagi.