AC Mizal buka stesen TV sendiri

AC Mizal buka stesen TV sendiri

ac mizal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBUKA stesen televisyen dengan rangkaian media dan hiburan terbaharu di bawah jenama SUKE TV, Datuk Mizal Zaini atau AC Mizal, bagaikan membuka satu lembaran pilihan terbaharu buat penonton dan masyarakat negara ini.

Tiga bulan menjalankan operasi sepenuhnya, SUKE TV, boleh dikatakan sebagai satu produk kebanggaan buat selebriti serba boleh tanah air ini memandangkan semua orang tahu, bukan mudah untuk menubuhkan sebuah stesen televisyen bermula daripada bawah.

Malah, stesen televisyen yang ada di Malaysia ini juga seakan sudah melalui satu fasa mencabar apabila berdepan dengan kebangkitan zaman media sosial dan platform OTT (Over The Top) atau penstriman di Internet yang kini semakin menjadi pilihan penonton.

Siapa sangka, impian besar ini berjaya direalisasikan oleh AC meski sebelum ini dia juga banyak menerima sindiran dan diperlekeh oleh banyak pihak termasuk rakan-rakan sendiri.

“Memang keadaan itu berlaku. Marah itu ada, tapi itu menjadikan saya lebih bersemangat sebenarnya. Sebelum saya mula SUKE TV ini, ketika itu, ia merupakan percubaan kali terakhir saya. Saya dah nak pulangkan lesen dah.

“Lesen itu sudah ada sebelum saya mula lagi dan kena bayar setiap tahun kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Terus-terang, ketika itu, saya dah tahap berserah betul-betul kepada Tuhan. Ingat lagi, Jun tahun lepas, saya dah betul-betul putus asa.

“Bila tak beroperasi, MCMC akan tarik balik lesen. Tetapi ternyata Allah itu Maha Mendengar akan rintihan-rintihan hamba-Nya, patut pulangkan lesen pada Jun, tetapi Allah gerakkan misi dan visi saya ini bermula April lalu,” katanya.

MALU, SAKIT HATI

Kata AC, dia juga pernah dibelenggu dengan perasaan malu dan sakit hati kerana orang di sekeliling memandang rendah usahanya itu namun bersyukur kerana isterinya, Datin Emylia Rosnaida sentiasa meletakkan kepercayaan kepada dirinya.

“Kami berdua ini nasib baiknya memang selalu berfikiran positif. Kita tetap nak buat.Nampaknya Tuhan tetap nak bagi rezeki menerusi SUKE TV ini sebab banyak dah bisnes lain yang dijalankan sebelum ini,Allah tetap bukakan jalan yang ini.

“Memang kami tawakal saja pada Allah dan akhirnya di hujung-hujung perasaan dah nak putus asa itu, Dia realisasikan hasrat kami ini. Saya pun pasang niat nak bantu orang, nak beri peluang pekerjaan kepada ramai orang.

“Mungkin kerana itulah, Dia kurniakan peluang ini kepada saya dan isteri. Bayangkan, kamilah artis pertama yang membuka stesen televisyen dalam negara ini, siapa sangka?”katanya.

Selain itu, ditanya sama ada, dia sebenarnya merealisasikan stesen tv ini kerana pernah mengalami episod-episod kekecewaan sepanjang melewati tempoh 31 tahun bekerja untuk pelbagai platform stesen tv lain, ini jawab AC.

“Ya betul. Tapi nanti orang ingat sebab kecewa, esok terus buka stesen tv sendiri. Eh, macam kaya sangat saya ini. Tak, saya buka SUKE TV ini pun prosesnya lima tahun. Tapi sebab modalnya besar, baru kini kita dapat bantuan pinjaman kewangan daripada Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV).

“Bila mereka sudi beri pinjaman, bermakna idealogi dan visi saya ini boleh diterima sebab MDV sangat teliti dalam menilai.Kekecewaan itu sudah pasti pada asalnya. Saya ini fikirkan apa nasib rakan artis yang dah berumur tapi dibayar RM50 sehari, contohlah.

“Di sini saya beri peluang pekerjaan. Kalau tak ada job depan kamera, boleh buat benda lain, terlibat di belakang tabir. Jadi dapatlah kita lihat yang industri ini berkembang, bukan asyik timbul kisah artis susah, industri susah. Sampai orang nak sertai industri pun takut,”katanya.

LEBIH POPULAR?

Dalam pada itu, AC juga menafikan bahawa wujudnya hasrat untuk menjadi semakin popular apabila telah memiliki stesen televisyen sendiri kini.

Menganggap hal itu cuma canda kosong, kata AC, dia sudah lama mahu berundur diri sebagai selebriti di depan kamera memandangkan dia juga sedar,pada usia begini, dia sepatutnya berada di tahap yang berbeza.

“Bukan pasal nak popular, tidak! Saya memang dah lama nak beri laluan pada orang lain untuk ke depan. Saya dah berjanji nak jadi ahli korporat, ahli perniagaan, pengerusi dan nak kembangkan bisnes.

“Idea dan visi saya lebih banyak ke situ.Sekarang pun dah usia 51 tahun, penat dah nak jerit-jerit Peace Yo! Kena beralih arah,”katanya dalam ketawa.

KONSEP TERBUKA

Sebagai tambahan, AC memaklumkan, SUKE TV mengamalkan konsep terbuka dan idea yang segar dalam penghasilan rancangannya sesuai dengan citarasa dan keperluan khusus penonton Malaysia.

Ia menyiarkan pelbagai program termasuk program beli belah tempatan yang menampilkan selebriti, pempengaruh dan usahawan tempatan di mana penonton boleh membeli-belah secara langsung sambil menonton TV, 24 jam sehari di myFreeview, rangkaian penyiaran digital tanpa langganan untuk TV yang pertama di Malaysia.

Antara program yang disiarkan ialah SUKECele. Program perdana SUKE TV yang menampilkan selebriti menjual produk mereka kepada penonton.

Melalui inisiatif-inisiatif seperti ini, SUKE TV berhasrat memerkasa pangkalan pelanggan untuk PKS tempatan di seluruh negara melalui saluran TV percuma sambil mencipta aliran pendapatan baharu untuk penghibur tempatan yang terjejas oleh pandemik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya