MERSING: Tujuh buah kedai di Jalan Dato’ Mohd Ali, Endau, dekat sini musnah dalam kebakaran petang tadi.
Kejadian pukul 1.17 petang itu disedari pemilik kedai menjual peralatan sembahyang yang ternampak api dari dalam kedai tersebut sebelum meminta bantuan orang ramai untuk memadamkannya, namun gagal.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Alias Hussin berkata, seramai 25 anggota bomba dari BBP Endau dan Rompin, Pahang yang turut dibantu pasukan bomba sukarela serta agensi kerajaan seperti polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Johor terlibat dalam operasi berkenaan.
Kedai yang terbakar adalah sebuah kedai elektrik, servis pendingin hawa, menjual alatan sembahyang, buah-buahan, emas, runcit serta sebuah premis kosong.
“Kebakaran melibatkan tujuh buah rumah kedai lama dua tingkat jenis separuh kekal yang musnah 90 peratus. Terdapat tiga buah bangunan yang berhampiran turut terlibat akibat bahang sebanyak 10 peratus melibatkan sebuah kedai tiga tingkat jenis kekal, sebuah warung separuh kekal dan rumah kedai dua tingkat separuh kekal.
“Keadaan cuaca yang panas serta tiupan angin kuat menyebabkan api cepat merebak. Namun pihak bomba berjaya mengawal api dalam tempoh setengah jam dan operasi berjaya ditamatkan pada pukul 7.41 malam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian. – UTUSAN