BUKIT MERTAJAM: Seorang pesara kerajaan di sini meluahkan rasa kecewa kerana impiannya untuk tinggal di rumah sendiri belum tercapai.
Abd. Rahim Mia, 78, berkata, dia antara pemohon terawal memohon kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tok Suboh, di sini iaitu sejak Disember 2017.
Bagaimanapun, katanya, dia belum menerima sebarang jawapan daripada pihak berkenaan berhubung permohonannya itu sedangkan dakwanya, banyak permohonan baharu diluluskan dan ramai antara pemohon itu juga telah tinggal di situ.
“Dulu masa hendak mohon, saya ada isi borang yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum menyerahkannya kepada Perda (Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang).
“Tahun berikutnya (2018) mereka (Perda) suruh isi lagi sekali tapi tak ada jawapan juga. Kemudian selepas PRU (Pilihan Raya Umum) 2018, saya diberitahu nama saya (sebagai pemohon) tak ada dalam sistem. Kalau masih berminat, perlu isi semula kerana sistem lama tak boleh pakai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut bapa kepada tiga anak itu, pandemik Covid-19 dua tahun lalu terus ‘menenggelamkan’ impiannya untuk mempunyai rumah sendiri selepas bersara awal hampir 30 tahun lepas.
“Sebenarnya, bukan saya sahaja. Malah, ada kawan-kawan saya termasuk dalam kalangan ibu tunggal dan anak jati Pulau Pinang masih menunggu kelulusan permohonan kami sejak beberapa tahun yang lalu.
“Sepanjang tempoh itu juga, ramai dalam kalangan kami termasuk saya terpaksa menyewa sehingga ke hari ini,” katanya yang pernah menjadi pemandu teksi.
Ujar Abd. Rahim, ketika ini dia cuma mahukan kepastian daripada pihak yang berkenaan termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengapa nama pemohon awal untuk kediaman itu boleh ‘tercicir’.
“Jika mereka boleh beri jaminan kami masih berpeluang mendapatkan unit perumahan tersebut, saya rasa tidak ada masalah untuk kami mengisi borang permohonan yang sama kali ini,” katanya. – UTUSAN