5 senapang angin dirampas, 60 PATI ditahan di Kuala Gula - Utusan Malaysia

5 senapang angin dirampas, 60 PATI ditahan di Kuala Gula

KHAIRUL Dzaimee Daud (tiga dari kiri) melihat lima laras senapang angin yang dirampas dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen di Kuala Gula, Bagan Serai semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Lima laras senapang angin buatan sendiri lengkap bersama peluru bebola besi ditemukan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen di Perkampungan Nelayan Kuala Gula, di sini semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua senjata dan peralatan berkenaan ditemukan di dalam bot yang dinaiki sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika cuba melarikan diri ke arah sangkar ikan yang berdekatan di perairan Kuala Gula semasa serbuan dilakukan.

Menurutnya, dalam operasi yang bermula pada pukul 11.30 malam itu, pihaknya membuat serbuan di 15 buah kediaman yang diduduki oleh 63 warga asing tersebut.

Katanya, 60 PATI terdiri daripada warga Indonesia dan Myanmar yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ditahan.

“Operasi malam ini membabitkan 60 pegawai Ibu pejabat Imigresen Putrajaya dan 30 dari negeri Perak. Kita berjaya menahan 60 PATI terdiri daripada 37 warga Myanmar dan 23 warga Indonesia. Ketika operasi sedang dijalankan, seramai 20 PATI bertindak untuk meloloskan diri dengan menaiki dua buah bot ke arah sangkar ikan berdekatan namun berjaya dipatahkan. Ada juga yang terjun ke laut namun kesemuanya berjaya ditahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Penguatkuasaan Imigresen di Perkampungan Nelayan Kuala Gula di sini semalam.

Menurut Khairul Dzaimee, kesemua PATI yang ditahan berusia 25 hingga 50 tahun, masing-masing 48 lelaki dan 11 wanita serta seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 10 tahun.

Beliau berkata, semua yang ditahan akan ditempatkan di Depoh Tahanan Langkap untuk tindakan lanjut dan mereka dibawa secara haram melalui pertukaran bot di tengah laut untuk masuk ke negara ini.

“Mereka ini ada yang bekerja sebagai nelayan dan melakukan aktiviti kerja penangkapan ikan di perairan Kerian secara tidak sah dalam tempoh yang agak lama antara lima hingga 10 tahun. Ada juga di antara mereka yang bekerja di beberapa tempat kilang memproses belacan di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, majikan iaitu pemilik bot dan pengusaha kilang belacan akan disiasat dan akan turut didakwa kerana menggajikan dan membenarkan PATI berada di premis mereka.

Katanya, berdasarkan pemantauan dan hasil risikan, ada diantara mereka yang bertindak mengoperasikan bot secara sendiri dengan membayar sewa kepada pemilik bot tempatan.

“Tindakan ini melanggar syarat yang ditetapkan dan menjejaskan pendapatan nelayan pantai,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 56(1)Akta Imigresen 1956/63. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya