4 negara terlibat rondaan Selat Melaka - Utusan Malaysia

4 negara terlibat rondaan Selat Melaka

MALAYSIA dan tiga negara lain mengadakan rondaan di Selat Melaka bagi memastiksan keselamatan di perairan tersebut. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Bagi memelihara keselamatan di Selat Melaka, empat negara akan terlibat dalam Rondaan Maritim Selat Melaka (MSP), iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, dan Singapura.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha tersebut adalah bagi membendung cabaran keselamatan dan ancaman perlanunan dengan melibatkan kerjasama antara tentera laut dan udara, daripada empat buah negara ASEAN tersebut.

“Satu lagi usaha iaitu Rondaan Maritim Selat Melaka iaitu untuk menjamin Selat Melaka yang mendapat persetujuan dari Perdana Menteri Singapura (Lee Hsien Loong), dan Timbalan Perdana Menteri Thailand Prawit Wongsuwan 26 Mei lepas.

“Empat negara ASEAN ini akan bekerjasama memastikan keselamatan di selat Melaka insya-Allah,” katanya ketika menjawab soalan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) meminta kementerian menjelaskan mengenai perancangan kerjasama ketenteraan trilateral (TCA) antara Filipina, Indonesia dan Malaysia, dan sama ada kerjasama ketenteraan akan dilanjutkan kepada negara-negara ASEAN lain.

Mengulas lanjut mengenai TCA, Hishammuddin turut berkata, tiga negara bersetuju untuk mewujudkan Maritime Command Centre (MCC) di Tarakan, Indonesia, Tawau, Sabah dan Tawi-tawi, Filipina.

Tambah beliau, MCC bertindak sebagai saluran komunikasi, meningkatkan koordinasi operasi dan kerjasama perisikan bagi menyokong aktiviti rondaan laut dan udara melalui inisiatif trilateral maritime patrol (TMP) dan trilateral air patrol (TAP).

“TMP dan TAP merupakan rondaan terkoordinasi yang dilaksanakan dengan melibatkan aset Tentera Laut dan Udara daripada ketiga-tiga buah negara.

“Selain itu, beliau berkata, ketiga-tiga negara bersetuju untuk melaksanakan operasi ‘hot pursuit’ iaitu mengejar, merentasi sempadan perairan melibatkan angkatan tentera dan agensi keselamatan masing-masing,” jelasnya.

Mengenai sama ada kerjasama ketenteraan akan dilanjutkan kepada negara ASEAN lain, Hishamuddin turut menjelaskan, menerusi mesyuarat peringkat menteri baru-baru ini, ketiga-tiga negara bersetuju untuk menjemput Brunei.

“Satu lagi pendekatan penting dalam usaha memelihara keselamatan di rantau ini, yang membabitkan kerjasama ketenteraan dengan negara ASEAN lain adalah Rondaan Maritim Selat Melaka (MSP) di Selat Melaka.

“Ia bertujuan membendung cabaran keselamatan dan ancaman perlanunan, membabitkan tentera laut dan udara dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN