33 pondok tahfiz musnah terbakar

33 pondok tahfiz musnah terbakar

SEBANYAK 33 pondok tahfiz dalam kawasan madrasah Al-Imaniyah, Jalan Sungai Ular musnah dalam kejadian kebakaran pukul 9.30 pagi ini di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 33 pondok tahfiz dalam kawasan madrasah Al-Imaniyah, Jalan Sungai Ular di sini musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 9.30 pagi hari ini. 

Pusat gerakan operasi (PGO) Bomba Pahang menerima laporan kejadian pukul 9.39 pagi dan tiba 10 minit kemudiannya dengan tiga jentera termasuk sebuah jentera tangki air dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dan Indera Mahkota.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, kejadian kebakaran merebak dengan cepat dipercayai disebabkan struktur bangunan yang diperbuat daripada kayu.

Menurutnya, bagaimanapun kejadian tersebut tidak membabitkan mangsa kerana ketika kejadian semua penghuni sedang bercuti.

“Disebabkan madrasah tahfiz ini diperbuat daripada kayu, dalam tempoh kurang daripada 10 minit pasukan bomba sampai… kira-kira 20 pondok sudah pun terbakar.

“Kayu-kayu itu mungkin juga sudah lama dan tambahan pula kedudukan struktur pondok begitu rapat dan kalau dilihat keadaan bumbung hampir bercantum dan itu juga menyebabkan api merebak begitu cepat,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kebakaran pondok tahfiz madrasah Al-Imaniyah, Jalan Sungai Ular di sini hari ini.

Sebanyak 33 pondok tahfiz musnah 100 peratus dalam kejadian itu, manakala empat lagi pondok sempat diselamatkan. 

Kawasan pondok tahfiz itu secara keseluruhannya mempunyai 92 unit yang dibahagikan kepada tiga fasa dan setiap fasa merangkumi 37 unit dengan 33 daripadanya musnah manakala selebihnya tidak terjejas.

Struktur menempatkan dua lagi fasa pondok tahfiz dalam kawasan madrasah itu tidak terbabit dalam kejadian berkenaan. 

Dalam pada itu, Wan Mohammad Zaidi berkata, pihak bomba menghadapi kesulitan kerana ketiadaan pili bomba di kawasan berhampiran.

“Kita berdepan sedikit kesulitan kerana tidak ada pili bomba dalam kawasan madrasah dan pasukan bomba menggunakan air dari sungai.

“Jarak di antara madrasah dan sungai yang berhampiran kira-kira 300 meter. Susulan itu operasi mengawal dan memadam kebakaran berjaya dilakukan sepenuhnya sekitar pukul 10.30 pagi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya