PASIR PUTEH: Jabatan Perikanan Malaysia membelanjakan RM3 juta dengan melabuhkan 212 tukun tiruan jenis konservasi dan rekreasi di kawasan pesisir pantai Kelantan melibatkan Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh bermula tahun 2007 lalu sehingga hari ini.
Timbalan Menteri Pertanian II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, turun tiruan yang diperbuat daripada struktur binaan konkrit mampu membangunkan semula bio-diversiti hidupan laut sekaligus membantu meningkatkan pendapatan nelayan di Zon B sekitar lapan kilometer dari pesisir pantai.
Menurutnya, pembinaan tukun itu mengguna pakai piawaian yang ditetapkan dibawah garis panduan United Nation Environmental Program (UNEP).
“Tukun jenis konservasi bagi pemuliharaan sumber marin manakala rekreasi pula untuk kerja-kerja menangkap ikan secara memancing dan perikanan yang terkawal.
“Purata berat tukun tiruan ini adalah antara 0.3 hingga 42 tan metrik, 30 hingga 50 gred simen digunakan bergantung kepada jenisnya sama ada tukun tetrapod, tukun udang karang, tukun kiub, tukun rekreasi, tukun dasar lembut dan tukun keluli,” katanya pada sidang akhbar di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali, di sini hari ini.
Nik Muhammad Zawawi memberitahu, Jabatan Perikanan Malaysia akan membina, melaksanakan program dan melabuhkan tukun tiruan ke seluruh perairan perikanan secara berterusan pada masa akan datang.
Katanya, hal ini bertujuan memastikan sumber perikanan sentiasa mampan dan menjamin sekuriti makanan negara.
“Berdasarkan kepada kajian yang telah dilaksanakan tukun yang dilabuhkan berjaya meningkatkan produktiviti biologi dan sumber perikanan di kawasan pesisir pantai.
“Usaha ini menjayakan kewujudan ekosistem yang berfungsi sebagai satu santuari, kawasan pembiakan dan nurseri untuk lain-lain hidupan marin, memulih dan melindungi habitat marin yang musnah akibat aktiviti perikanan dan bencana alam,” ujarnya. – UTUSAN