2 lelaki miliki karkas babi haram didenda - Utusan Malaysia

2 lelaki miliki karkas babi haram didenda

KHOO Eng Phoo (tiga kiri) dan Oon Kean Wong (tiga kanan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki yang memiliki karkas babi yang disembelih di rumah penyembelihan tidak berlesen masing-masing didenda RM4,000 dan RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Oon Kean Wong, 51, dijatuhi hukuman denda RM4,000 selepas mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Kean Wong didapati membawa 167 kilogram karkas babi tanpa tanda pengenalan ketika ditahan pihak berkuasa Jabatan Veterinar yang memeriksa kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandunya.

Kesalahan itu dilakukan di Kilometer 132.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan menghala Bukit Mertajam, kira-kira pukul 3.50 pagi, 2 Jun lalu.

Sementara itu, Eng Phoo didakwa membawa 261 kilogram karkas babi yang turut disembelih di luar rumah sembelihan tanpa sebarang lesen sah.

Mengikut fakta kes, dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika pemeriksaan pihak berkuasa Jabatan Veterinar yang memeriksa lori jenis Daihatsu yang dipandunya di tepi jalan Plaza Tol Kubang Semang (BKE) menghala Kulim, kira-kira pukul 2.35 pagi, 2 Jun lalu.

Kedua-duanya didakwa melanggar peruntukan di bawah Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 dan boleh dihukum di bawah Kaedah 17 (Pindaan 2018), kaedah sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar negeri, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd. Harith kemudian menjatuhi hukuman denda RM4,000 terhadap Kean Wong manakala Eng Phoo didenda RM4,500.

Mahkamah turut memerintahkan karkas babi yang sudah diperiksa dan disahkan tidak sesuai dijadikan makanan manusia dilupuskan dan lori yang disita dikembalikan semula kepada tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya