ALOR SETAR: Puluhan anak muda yang leka memperaga pelbagai aksi berbahaya ketika menunggang motosikal termasuk melakukan wheelie tanpa memakai topi keledar tidak menyangka terdapat pegawai serta anggota polis yang turut menyamar dalam kalangan deretan penonton di situ.
Akibatnya, kesemua mereka terperangkap tanpa dapat meloloskan diri apabila kesemua pegawai serta anggota tersebut memunculkan diri sambil menutup setiap jalan keluar bagi mengelak mereka lolos di depan Muzium Padi, Gunung Keriang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pemeriksaan terhadap 77 motosikal dan 30 kereta yang berada di situ membawa kepada pengeluaran 126 saman kepada pemilik kenderaan terlibat.
“Kebanyakan saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan ini melibatkan kesalahan tiada lesen, cukai tamat tempoh dan ubah suai kenderaan. Secara keseluruhan pemeriksaan dijalankan terhadap 12 individu yang mengendalikan kenderaan dan menjadi penonton di sini.
“Kebanyakan yang disaman berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun namun ada juga dalam kalangan mereka terdiri daripada pelajar sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mereka yang terlibat turut dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut, manakala sebanyak 13 motosikal turut disita kerana pelbagai kesalahan dilakukan. UTUSAN