Zuraida ‘Presiden Pengganti’ Parti Bangsa Malaysia

Zuraida ‘Presiden Pengganti’ Parti Bangsa Malaysia

LARRY Sng menyerahkan replika kad keahlian PBM kepada Zuraida Kamaruddin di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) membuat keputusan menjadikan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai ‘Presiden Designate’ atau ‘Presiden Pengganti’ parti itu.

Presidennya, Larry Sng berkata, pelantikan itu atas persetujuan semua ahli mesyuarat, suara akar umbi, biro politik dan Majlis Tertinggi PBM.

“Majlis Tertinggi PBM akan mesyuarat sekali lagi dalam masa terdekat untuk menyusun semula perlembagaan parti bagi membolehkan proses transisi kepemimpinan berjalan lancar. Zuraida adalah seorang pemimpin berwibawa, berpengalaman dan mempunyai visi berpadanan dengan aspirasi PBM yang inginkan perubahan holistik dalam membentuk Malaysia.

“‘Presiden Designate’ akan mengambil alih tempat saya jika tidak dapat hadir ke majlis rasmi dan beliau turut mengetuai PBM kerana sudah memberikan mandat kepadanya, itulah keputusan yang sudah dipersetujui semua,” katanya dalam sidang akhbar dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengumumkan keluar daripada parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai PBM.

Terdahulu, Zuraida menerima kad keahlian daripada Larry sebagai tanda sah menjadi ahli PBM.

Sementara itu, Larry berkata, permohonan penyertaan PBM dalam parti gabungan Barisan Nasional (BN) masih dalam proses.

“Kami baru mula untuk bergerak, sedikit masa diperlukan untuk mereka pertimbang penyertaan PBM, sudah pastinya akan mengambil masa,” katanya.

Beliau turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertimbang kedudukan Zuraida sebagai menteri di dalam Kabinetnya berdasarkan rekod memberansangkan sewaktu memegang jawatan itu.

Sementara itu, Zuraida ketika ditanya berhubung pertemuannya dengan Perdana Menteri pula, beliau berkata, tarikh perjumpaan itu belum ditetapkan memandangkan Ismail Sabri masih sibuk.

“Saya belum mendapat tarikh kerana Perdana Menteri masih sibuk. Sekarang, beliau berada di Kedah untuk menghadap Sultan Kedah. Saya masih menunggu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya