PUTRAJAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri mengharumkan nama negara apabila dikurniakan tempat pertama Anugerah Alumni Perintis sempena Majlis Konvokesyen ke-58 Universiti Islam Madinah.
Lebih manis, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu dipilih dalam kalangan 138 alumni yang tercalon dari seluruh dunia.
Zulkifli menerusi hantaran di Facebooknya berkata, majlis pengurniaan anugerah itu disempurnakan Gabenor Madinah, Putera Faisal Salman bin Abdulaziz Al Saud.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden Universiti Islam Madinah, Dr. Mamdouh bin Saud bin Thunayan Al Saud dan seluruh Jawatankuasa Penilai yang mencalonkan namanya sebagai penerima tempat pertama.
“33 tahun lalu, saya hanyalah anak kampung dari Terengganu, Malaysia yang tidak mengerti apa-apa dan berkelana ke sini (Madinah) semata-mata mengutip mutiara-mutiara indah daripada para ulama Madinah al-Munawwarah.
“Cuma saya ada satu tekad yang kuat untuk sentiasa menjadi yang terbaik dalam kalangan mereka yang terbaik. Sesungguhnya, saya menganggap anugerah ini terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan sumbangan Universiti Islam Madinah dan para ulamanya bagi perkembangan Islam di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berbangga bergelar alumni Universiti Islam Madinah dan akan terus menyumbang kepada agama, bangsa, dan negara yang tercinta. – UTUSAN