PETALING JAYA: Yayasan Hasanah, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), melancarkan Dana Perusahaan Sosial Hasanah (HSEF) 2022 dengan peruntukan RM5 juta bagi memperkasa dan menyokong pembangunan organisasi perusahaan dan inovator sosial.
HSEF 2022 dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia itu menyasarkan perusahaan sosial dan merupakan dana ketiga di antara dana-dana yang disediakan di bawah Yayasan Hasanah pada tahun ini selepas melancarkan Geran Khas Hasanah 2022 awal tahun ini dan dana Arts For All Seasons (ArtsFAS) pada minggu lalu.
Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata, bagi kebanyakan perusahaan sosial, aliran tunai, kecairan dan akses terbatas kepada pelabur telah dilaporkan sebagai penghalang terbesar kepada peluang mereka untuk berkembang secara mampan.
“Dana ini dapat menyokong perusahaan sosial pada peringkat permulaan dan pertumbuhan seterusnya, dan merupakan sebuah dana penuh bagi pembangunan organisasi.
“Kami berharap usahawan dan inovator sosial akan memanfaatkan dana tersebut. Dana itu juga direka untuk memupuk disiplin kewangan dan memperkembangkan kapasiti usahawan untuk meningkatkan kesan impak mereka,” katanya dalam kenyataan.
Organisasi yang layak adalah organisasi berdaftar di Malaysia dan berkeupayaan untuk bekerjasama serta melaksanakan lima bidang impak di bawah pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar, seni dan ruang awam dan ilmu pengetahuan.
Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang telah diakreditasi sebagai Perusahaan Sosial (Social Enterprise) oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, di mana setiap inisiatif boleh menerima pembiayaan sehingga RM500,000.
“Kami berharap perusahaan dan inovator sosial yang mempunyai idea-idea yang hebat, atau memerlukan bantuan kewangan untuk memperkembangkan lagi perniagaan serta meningkatkan impak mereka, dapat memohon dana ini, agar beroleh lebih banyak peluang serta membawa perubahan positif kepada negara.
“Kami juga berharap dapat bekerjasama dan memberikan sokongan kepada perubah dan inovator yang sejajar dengan bidang impak asas kami,” katanya lagi.
Permohonan HSEF2022 dibuka sehingga 31 Julai 2022. Mereka yang ingin memohon boleh melayari https://yayasanhasanah.org/HSEF2022/.
Hanya cadangan daripada perusahaan sosial yang layak akan dinilai dan pemohon disarankan untukmeluangkan masa bagi memahami syarat kelayakan di laman tersebut. – UTUSAN