PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan warga emas, M.A. Ambika daripada pertuduhan membunuh pembantu rumahnya warga Indonesia, Adelina Lisao, empat tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan bersidang bersama-sama Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang selepas mendapati tiada kekhilafan yang membolehkan keputusan mahkamah terdahulu diubah.
Ambika yang hadir ke mahkamah dengan menaiki ambulans dan berkerusi roda kerana keuzuran serta ditemani anak perempuannya, R. Jayavarthiny, 36, kelihatan tenang mendengar keputusan itu.
Hakim Lam Kiat ketika membaca penghakimannya menyatakan, Mahkamah Rayuan telah mengambil kira bahawa Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir menggunakan budi bicaranya ketika membebaskan Ambika daripada pertuduhan membunuh itu.
“Oleh itu tiada sebarang kekhilafan yang membolehkan mahkamah ini campur tangan dan meminda keputusan terdahulu,” kata Hakim Lam Kiat.
Pada 21 Februari 2018, Ambika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menyebabkan kematian Adelina Lisao, 28, pada pukul 4 petang, 10 Februari tahun sama di rumahnya di Taman Kota Permai 2, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pada 22 September 2020, Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas alasan pihak pendakwaan ketika itu tidak memberikan alasan kukuh apabila mengemukakan permohonan bagi Ambika dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).
Sebelum ini kes penderaan Adelina menarik perhatian ramai selepas gambarnya tidur di sebelah kandang anjing di hadapan rumah majikannya dengan beralaskan tikar nipis dan berselimut menjadi tular.
Adelina yang mengalami kecederaan parah termasuk luka dan lebam di badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Turut menghadiri untuk memerhati prosiding hari ini adalah Duta Indonesia di Kuala Lumpur, Hermono dan Konsul Jeneral di Pulau Pinang, Bambang Suharto.
Bercakap kepada media, Hermono melahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu kerana tidak dapat menuntut keadilan buat mendiang Adelina.
“Kami menerima keputusan yang telah dibuat oleh ketiga-tiga hakim namun saya kecewa kerana tiada siapa yang dipertanggungjawabkan atas kematian tragis warganegara kami ini.
“Keputusan ini adalah pengakhiran untuk perjalanan panjang untuk kes ini tetapi kita akan mencari peluang dengan berbincang dengan pihak berkaitan di Jakarta untuk membuka kes sivil,” katanya.
Hermono berkata, keluarga mendiang Adelina juga masih sedih atas pemergiannya dan keputusan hari ini akan memberikan kesan kepada mereka. – UTUSAN