SEREMBAN: Seorang pegawai penyelidik, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang basikal dalam kejadian 1 Jun lalu.
Munirah Stapah@Salleh, 26, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Intan Syafinaz Roslin.
Tertuduh pada 1 Jun lalu didakwa melakukan kesalahan itu sekitar pukul 8.25 pagi di Jalan Temiang-Pantai sehingga menyebabkan kematian Khalid Mohd. Isa, 72.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000 dan boleh juga dipenjara antara lima hingga 10 tahun.
Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden M. Shanmugavel kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dan menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai.
Munirah yang tidak diwakili peguam merayu ikat jamin lebih rendah dan memberitahu suaminya bekerja di negeri lain serta masih menyusukan seorang anak kecil.
Majistret kemudian menetapkan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menggantung lesen memandu tertuduh.
Intan Syafinaz juga menetapkan 21 Jun ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh melantik peguam.
Pada 1 Jun lalu, media melaporkan seorang lelaki warga emas maut selepas basikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Temiang-Pantai di sini. – UTUSAN