RAUB: Bekas diplomat Malaysia berstatus Datuk bersama anaknya yang diberkas polis selepas disyaki memiliki ladang ganja didakwa di Mahkamah Sesyen Raub di sini hari ini atas tuduhan menanam sejumlah 102 pokok ganja.
Tertuduh, Zainal Abidin Alias, 78, dan anaknya, Mohamed Riza, 53, didakwa di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan diwajibkan sebatan rotan tidak kurang enam kali.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Menurut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menanam tumbuhan 102 pokok ganja di Lot 5718 Kampung Sum Sum Hilir Janda Baik di Bentong pada pukul 6.10 petang 21 Mei lalu.
ZAINAL ABIDIN Alias (baju putih) dan anaknya Mohamed Riza ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Raub selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1957 atas kesalahan menanam sejumlah 102 ganja. – UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Mohammad Khalid Ab. Karim bersama Tuan Hayda Faridzal Abu Hasan dan S. Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Rahmat Hazlan.
Rahmat dalam pada itu memaklumkan kepada hakim telah menghantar surat representasi kepada Peguam Negara pada 2 Jun lalu.
Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh dan kes disebut semula 22 Julai depan.
Sementara itu, media pada 24 Mei lalu melaporkan polis menemukan lebih 100 batang pokok ganja di sebuah ladang dalam serbuan ke atas sebuah kediaman di Kampung Sum Sum Hilir.
Kes disifatkan sebagai rampasan pokok ganja terbesar kerana sebelum ini ia hanya membabitkan pokok yang ditanam dalam pasu.
Pada 3 Jun lalu, bekas diplomat terbabit bersama anaknya didakwa di Mahkamah Majistret Bentong atas tuduhan memiliki dan mengedar dadah.
Zainal Abidin dan anaknya Mohamed Riza didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dan Seksyen 9 ADB yang boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Mohamed Riza turut didakwa dibawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hashim. – UTUSAN