PETALING JAYA: Universiti Sains Malaysia (USM) menubuhkan jawatan kuasa khas bagi menilai semula keputusan proses dan sistem peperiksaan peringkat ijazah tinggi terutama dalam bidang Sains Perubatan.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, jawatan kuasa yang terdiri daripada pakar luar itu akan meneliti integriti proses dan sistem peperiksaan dilakukan ketika ini.
Katanya, penubuhan jawatan kuasa itu ekoran aduan oleh calon program sarjana perubatan yang mendakwa ketidaktelusan sistem hingga menyebabkan ada yang gagal dalam pengajian.
“Universiti telah menyiasat perkara ini secara dalaman dan mendapati sistem peperiksaan pengajian itu selama ini dibuat dengan teliti, mematuhi prosedur yang ketat dan mendapat penglibatan pakar-pakar luar, bukan hanya seorang pensyarah.
“Selepas keputusan diumumkan, calon-calon dipanggil untuk diberi maklum balas mengenai komponen-komponen yang perlu diperbaiki jika ada.
“Namun, untuk menegakkan ketelusan dan menjaga nama baik universiti, kita menubuhkan pula jawatan kuasa luar ini untuk benar-benar memastikan sistem dan proses ini benar-benar utuh, berintegriti dan berkredibiliti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Faisal Rafiq berkata, langkah itu diambil untuk meyakinkan semua pihak yang universiti sentiasa memastikan proses dan sistem peperiksaan memenuhi keperluan kepakaran dan profesionalisme dalam bidang berkaitan.
Katanya, jawatan kuasa khas itu akan memberi laporan dan maklum balas kepada universiti dalam masa terdekat. – UTUSAN