Usia tua bukan halangan belajar sehingga PhD - Utusan Malaysia

Usia tua bukan halangan belajar sehingga PhD

M. GOVINDAN bersama isteri dan dua anaknya selepas menerima ijazah Doktor Falsafah yang diterimanya daripada Canselor, Tuanku Zara Salim pada Konvokesyen UPSI di Tanjung Malim. - UTUSAN/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Usia lanjut dan menjadi warga emas bukan halangan untuk terus menimba ilmu dan menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi di universiti.

Itu pendirian yang disemat dalam pemikiran Dr. M. Govindan, 76, yang menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan Kesusasteraan Tamil, pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-23 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, di sini.

Ketika ramai orang lain pada usianya lebih banyak menghabiskan masa menikmati masa lapang persaraan ‘bermain’ dengan cucu, datuk kepada seorang cucu itu sebaliknya bertungkus-lumus menyiapkan tesis PhD dalam tempoh lima semester atau dua tahun enam bulan.

Walaupun sudah bersara kira-kira 20 tahun lalu pada usia 56 tahun dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Unit Bahasa Tamil, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dan kemudian menyambung jawatan secara kontrak sehingga berusia 65 tahun, belajar baginya adalah satu kepuasan yang sukar diterjemah dengan kata-kata.

“Selepas bersara sepenuhnya pada usia 65 tahun, saya tunaikan impian melanjutkan pengajian yang terpendam sejak sekian lama ketika berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan, dengan menyambung pengajian di peringkat sarjana dulu atas dorongan isteri, Dr. A. Rajeswari.

“Bila berhenti kerja tanpa berbuat apa-apa mendorong saya menyambung pengajian bahasa Tamil di peringkat sarjana di India dan kemudian bahasa Inggeris di Universiti Malaya (UM).

“Semasa bekerja, saya tidak sempat belajar disebabkan kesibukan dengan tugas, namun saya menyimpan impian untuk sambung belajar, justeru perasaan saya sangat gembira dan puas atas pencapaian ini kerana mampu mencapai tahap yang menjadi impian saya sekian lama ,” katanya yang kini menjadi pengajar sambilan bahasa Inggeris di UM.

Govindan yang mempunyai seorang cucu lelaki dari anak perempuannya, Marahatha Nanggai, 40, seorang jurutera manakala anak lelakinya, Arunan, 39, bekerja sebagai perunding insurans dan kewangan.

Beliau berjaya menyiapkan penulisan tesis bertajuk ‘The Concepts of Saiva Siddhantam in Cuntarar Tevaram‘ di bawah penyeliaan Prof. Madya Dr. I.S. Samikkanu Jabamoney.

Sementara itu, Dr. Rajeswari berkata, suaminya bekerja keras dan bersikap profesional untuk menyiapkan tesis dan dalam masa sama membantu mengedit tesis Doktor Falsafah beliau pula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya