daerah Lipis

Usaha jadikan daerah Lipis UNESCO Global Geopark

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) mempengerusikan mesyuarat Anggota Perbadanan Taman Negeri Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri menerusi Mesyuarat Anggota Perbadanan Taman Negeri Pahang bersetuju supaya langkah-langkah proaktif diambil dalam usaha menjadikan daerah Lipis sebagai UNESCO Global Geopark.

Geopark merupakan sebuah wilayah yang mengandungi tapak warisan geologi dan landskap berkepentingan antarabangsa dan diurus secara holistik berasaskan konsep pemeliharaan, pemuliharaan, pendidikan dan pembangunan lestari.

Antara keunikan Daerah Lipis selain merupakan bandar warisan Pahang adalah terdapatnya batuan berusia Devon–Perm Tengah iaitu sekitar 420-270 juta tahun lalu di Pos Betau yang menjadi bukti pertembungan dua plat tektonik yang membentuk semenanjung Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, aspirasi Lipis Geopark akan menjadi platform untuk memperkasa kepelbagaian warisan daerah tersebut.

Katanya, pengiktirafan sebagai tapak Geopark juga akan mempertingkatkan sosio-ekonomi masyarakat setempat melalui kewujudan peluang pekerjaan dan kerancakan aktiviti pelancongan.

“Sebagai langkah awal, kerajaan negeri telah melakukan perbincangan dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Perbadanan Taman Negeri Pahang untuk menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Lipis Geopark yang merangkumi keperluan sumber manusia dan kewangan bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai sebuah Geopark Kebangsaan.

“Pengiktirafan ini merupakan antara syarat untuk melayakkan Lipis Geopark dicalonkan sebagai UNESCO Global Geopark. Sehingga kini, terdapat 177 UNESCO Global Geopark seluruh dunia, dan Langkawi Geopark satu-satunya UNESCO Global Geopark di Malaysia.

“Selain itu, terdapat enam tapak yang telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan iaitu, Langkawi Geopark, Lembah Kinta Geopark, Jerai Geopark, Mersing Geopark, Kinabalu Geopark, Lenggong Geopark dan Labuan Geopark,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Wan Rosdy berkata, beliau berharap usaha mewujudkan Lipis Geopark menjadi kenyataan supaya daerah ini dapat uruskan secara holistik berteraskan kelestarian alam semula jadi selain menjadikannya satu lagi tarikan pelancongan menarik khususnya bagi mereka yang meminati bidang geologi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya