PETALING JAYA: Universiti Tenaga Nasional (Uniten) julung kali menubuhkan Pusat Tenaga Nasional (NEC).
NEC akan menjadi pusat kecemerlangan nasional bertaraf antarabangsa bagi mendalami aspek peralihan tenaga, merangkumi isu perubahan iklim, pembangunan lestari dan sumber tenaga boleh baharu (TBB) di peringkat negara dan global.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penubuhan NEC di UNITEN adalah usaha proaktif institusi pengajian tinggi untuk menyumbang kepakaran dalam agenda pembangunan negara termasuk dalam usaha peningkatan kapasiti TBB dan menangani pelepasan karbon.
“Penubuhan NEC juga cukup signifikan kerana ia menggemblengkan usaha pelbagai pemegang taruh untuk sama-sama mendalami serta mencari penyelesaian terhadap isu berkaitan tenaga yang sedang dihadapi seluruh dunia.
“Sekiranya NEC ini ditadbir uruskan dengan baik, ia berupaya menghasilkan penyelesaian terhadap isu nasional dan sejagat berkaitan tenaga yang sedang membelenggu kita,” katanya dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju.
Universiti milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu menempatkan lima pusat kecemerlangan tenaganya di bawah NEC, bagi melaksanakan pelbagai penyelidikan dan projek berkaitan tenaga, dengan kerjasama pakar dari universiti tersohor tempatan dan luar negara serta para peneraju industri, dengan aspirasi menjadikan Malaysia Hab Tenaga Serantau.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba mencadangkan NEC supaya bekerjasama dalam penyelidikan di peringkat peralihan tenaga serantau, khususnya ASEAN, China dan negara-negara Eropah serta organisasi antarabangsa.
“NEC juga boleh mewujudkan forum peringkat tinggi di antara para akademia tersohor, pakar industri dan pegawai tinggi kerajaan dengan ahli-ahli negara ASEAN dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bagi membincangkan secara mendalam isu-isu kritikal dalam bidang tenaga,” katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim.
NEC bakal memainkan peranan strategik dalam mengukuhkan komitmen Malaysia untuk menjadikan negara neutral karbon seawal 2050 dan memenuhi aspirasi pelepasan karbon sifar bersih dalam Hala Tuju Kelestarian 2050 (TNB Sustainability Pathway – SP2050).
Lima pusat kecemerlangan yang akan diletakkan dibawah satu bumbung NEC adalah Institut Tenaga Lestari (ISE), Institut Kejuruteraan Kuasa (IPE), Institut Infrastruktur Tenaga (IEI), Institut Dasar & Penyelidikan Tenaga (IEPRe) dan Institut Informatik dan Pengkomputeran dalam Tenaga (IICE).
NEC akan membentuk Kerangka Strategik Nasional bagi Tenaga dengan sasaran Malaysia sebagai hab tenaga dan para pemain industri berpeluang menjadi rakan strategik dengan membuka cawangan atau makmal inkubator satelit di pusat tenaga itu.
Kajian-kajian ini dijangka memberi manfaat masa depan lebih selamat, lebih mesra alam dan sederap dengan perkembangan ekonomi digital rendah karbon, sejajar mengubah sektor tenaga global daripada berasaskan bahan api fosil kepada karbon sifar menjelang separuh kedua abad ini.
Antara yang bakal diterokai secara mendalam ialah penggunaan hidrogen, kuasa suria berasaskan angkasa, kuasa magma, kuasa tenaga alga, kuasa solar terbenam, kuasa angin dan kuasa lakuran (fusion) bagi tenaga boleh baharu serta pembangunan ekosistem teknologi Kenderaan Elektrik (EV).
NEC diperlukan sebagaimana peranan pusat-pusat seperti National Energy Research Science and Computing Centre (NERSC) di Berkeley, Amerika Syarikat; Alan Turing Institute & UK Department of Business Energy and Industry Strategy (BEIS) di United Kingdom; Institute of Energy Economics (IEEJ), di Jepun dan terbaru, Singapore Energy Centre (SngEC) yang ditubuhkan tahun lalu. – UTUSAN