UMP perluas kerjasama memasyarakatkan TVET - Utusan Malaysia

UMP perluas kerjasama memasyarakatkan TVET

YUSERRIE Zainuddin (kiri) bersama Naib Canselor MTUN menandatangani memorandum persefahaman disaksikan Noraini Ahmad di Hotel Tenera di Bangi, Selangor baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan terus memperkukuhkan peranannya sebagai universiti teknologi dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) sebagai usaha mengangkat agenda pemerkasaan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Jalinan kerjasama strategik dimeterai melibatkan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan MTUN disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Hotel Tenera, Bangi baru-baru ini bakal mencorakkan hala tuju TVET negara.

MTUN terdiri daripada empat universiti iaitu UMP, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, kerjasama strategik itu bakal memberikan ruang dan peluang untuk pelajar menikmati pengalaman pembelajaran yang lebih komprehensif melalui kursus-kursus yang ditawarkan dan dapat meningkatkan pengambilan lepasan politeknik ke UMP dan MTUN lain.

“Selain itu, kerjasama ini juga berupaya menjadi pemangkin untuk mengekalkan kelestarian bidang TVET pada masa hadapan, di samping memastikan kesinambungan laluan akademik pelajar politeknik dan kolej komuniti selepas mereka tamat pengajian sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Yuserrie berkata, UMP bakal memperluas kerjasama dengan JPPKK dalam penyelidikan dan pengkomersialan, selain hasrat utama bagi artikulasi dengan politeknik.

“Artikulasi ini akan menambah minat graduan politeknik untuk melanjutkan pengajian ke universiti dan seterusnya meningkatkan jumlah ambilan terutama di bidang teknologi kejuruteraan. Begitu juga kolaborasi strategik dengan beberapa politeknik selain bagi tujuan perkongsian kepakaran dan fasiliti,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat dua elemen utama yang membezakan TVET aras tinggi ialah High Technology High Value (HTHV) dan Malaysian Qualifications Framework (MQF) tahap enam dan ke atas bagi program TVET. Malah elemen itu juga perlu diterapkan oleh semua MTUN dalam kurikulum di universiti.

Yuserrie dalam pada itu berkata, mencapai dua dekad penubuhannya, UMP menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi serta program akademik beridentiti teknikal dengan kurikulum diterajui industri yang memenuhi keperluan utama negara.

Sehingga kini katanya, UMP menawarkan 15 program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan, enam program Sarjana Muda Teknologi dan lima program Diploma Kejuruteraan/Teknologi Kejuruteraan.

Beliau berkata, universiti itu turut memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek industri dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan.

“Pengantarabangsaan program dual ijazah kini juga sedang berkembang pesat dan UMP antara universiti terbaik Asia dengan kebolehpasaran graduannya yang berjaya melepasi 96 peratus mendapat pekerjaan.

“Malah, UMP mempunyai tenaga akademik yang mampu menghasilkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya