UiTM-MAGJA wujud akademi lahir pemain golf profesional

UiTM-MAGJA wujud akademi lahir pemain golf profesional

ROZIAH Mohd. Janor (depan. lima kanan) dan Irmohizam Ibrahim (kanan) bergambar bersama wakil MGJA dan FSR UiTM selepas Majlis Menandatangani MoU di UiTM Shah Alam, Selangor, hari ini. - FOTO/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhasrat melahirkan ramai pemain golf profesional dengan mewujudkan Akademi Golf UiTM (AGU) hari ini.

Akademi tersebut diwujudkan melalui Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) dengan kerjasama Persatuan Golf Junior Malaysia (MGJA) dalam usaha melahirkan atlet-atlet profesional dalam sukan tersebut.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, penubuhan AGU melalui kerjasama tersebut akan merangka pelbagai program pendidikan golf serta perkembangan dan pembangunan pesertanya.

“Selain kerjasama mewujudkan AGU dan lebih ramai pemain profesional UiTM, kandungan MoU dengan MGJA akan memberi tumpuan kepada beberapa perkara termasuk pertukaran maklumat berkenaan perkembangan di dalam program pendidikan, pembangunan atlet dan penyelidikan.

“Menerusi MoU ini juga kedua pihak akan bekerjasama menganjurkan simposium, konferensi, dan penjanaan kursus jangka pendek,perkongsian maklumat dan aktiviti sebagai rakan universiti,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di Bangunan Canseleri hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Presiden MGJA, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dan Dekan FSR, Profesor Dr. Mohd. Anizu Mohd. Nor.

Malah, beliau turut memaklumkan UiTM berhasrat mewujudkan kemudahan padang golf sebagai lanjutan usaha penubuhan AGU, namun perkara itu akan dibawa kepada Lembaga Pengarah Universiti terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Irmohizam memberitahu, MGJA bersedia untuk berkongsi kepakaran dalam aspek pembangunan sukan golf serta perkembangan atlet dan keperluan organisasi yang melibatkan program kepemimpinan, komunikasi, kreativiti, dan penyelesaian masalah.

“Kita juga ingin menjayakan lain-lain aktiviti dan kerjasama yang bersesuaian dan dipersetujui bersama yang berasaskan penglibatan komuniti.

“Penubuhan AGU yang kita harapkan tidak semesti dalam bentuk fizikal seperti bangunan tetapi boleh dijayakan dalam bentuk modul-modul dan kursus jangka pendek,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya