kedaulatan negara

TUDM pastikan kedaulatan negara tidak dikompromi

TUDM menaik taraf keupayaan pesawat melalui Service Life Extension Program (SLEP) melibatkan pesawat F/A-18D dan senggaraan Structural Inspection ST 18 years ke atas pesawat C130 H dalam mengekalkan kesiagaannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUANG angkasa yang menjadi salah satu aspek utama kedaulatan negara sememangnya memerlukan sebuah pasukan berkredibiliti tinggi untuk memeliharanya daripada sebarang ancaman.

Dengan penuh tanggungjawab, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditubuhkan sejak tahun 1958 menggalas tugas tersebut tanpa sebarang kompromi.

Malah, sebagai sebuah angkatan pertahanan yang masih ‘muda’ berbanding perkhidmatan lain dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kemampuan TUDM terbukti selaras dengan cogan kata
‘Sentiasa Di Angkasa Raya’.

Kini, mencecah usia 64 tahun, TUDM terus mendepani pelbagai cabaran dan proses pembangunan untuk menangani ancaman baharu daripada setiap dimensi.

Justeru, Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, dua aspek utama iaitu penstrukturan keupayaan dan penjajaran organisasi diberi perhatian demi meneruskan kecemerlangan operasi TUDM.

Katanya, menerusi pendekatan strategik dua paksi ini, ia mampu mengurangkan jurang keupayaan dan memenuhi keperluan pertahanan masa hadapan dan meningkatkan tahap kesiagaan
TUDM.

“Pembangunan yang berfokus ini melibatkan tujuh program perolehan aset utama TUDM untuk menjadi sebuah kuasa udara yang mampu mendepani cabaran akan datang.

“Antara program tersebut termasuk penyewaan helikopter utiliti berkeupayaan siang dan malam (inisiatif jangka pendek), perolehan Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE-UAS), perolehan pesawat rondaan maritim (MPA) dan perolehan pesawat tempur ringan (LCA),” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

JENERAL DATUK SERI MOHD. ASGHAR KHAN GORIMAN KHAN

Mohd. Asghar Khan berkata, TUDM turut mengintai perolehan baharu membabitkan penggantian radar pertahanan udara jarak jauh dan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA).

Penggunaan aset terpakai bagi menampung keupayaan tempur TUDM adalah merupakan sebahagian daripada alternatif yang boleh dipertimbangkan sebagai gap filler keupayaan TUDM.

Perbincangan dan kajian telah dibuat berkaitan perolehan pesawat F/A-18C Kuwait di peringkat perkhidmatan dan masih menunggu keputusan daripada pihak kerajaan.

TUDM juga dalam masa yang sama katanya, berharap dapat memperoleh sistem misil pertahanan udara jarak sederhana (MERAD) yang pada ketika ini bergantung kepada sistem pertahanan udara jarak dekat antaranya Igla, FN6, Rapier dan Jernas.

Mengulas berkenaan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau dikenali sebagai CAP 55, Mohd. Asghar Khan menyifatkan ia adalah satu perancangan strategik dan merupakan satu pelan jangka
panjang bagi menentukan hala tuju pembangunan keupayaan untuk menjadi kuasa udara yang kredibel.

Tegasnya, keberkesanan pelan strategik ini dilaksanakan secara berterusan melalui inisiatif dan pelan tindakan yang bersifat imperatif serta menyeluruh.

“Namun, keberhasilan perancangan ini amat bergantung kepada komitmen pihak kerajaan yang konsisten dalam menyediakan peruntukan kewangan sebagai pelaburan pertahanan yang stabil
dan mencukupi.

“TUDM juga akan sentiasa memastikan ia dilaksanakan mengikut garis masa yang telah ditetapkan. Pemantauan dan penilaian pencapaian yang dilaksanakan berdasarkan empat tonggak utama CAP55 yang diselarikan dengan keperluan operasi dan persekitaran geostrategik semasa dan akan datang. Melalui pemantauan ini TUDM akan melaksanakan inisiatif yang proaktif ke arah intervensi sekiranya diperlukan,” jelasnya.

Berkaitan konflik Russia-Ukraine, secara amnya, dunia sedia maklum apabila berlaku peperangan/konflik di mana-mana, akan terdapat rangkaian implikasi kepada negara-negara serantau. TUDM akan terus-menerus mencari jalan dan alternatif melalui perbincangan bagi mengatasi masalah-masalah yang mungkin timbul.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Asghar Khan turut menjelaskan kaedah penyewaan aset seperti helikopter yang menurutnya inisiatif jangka pendek proses penggantian aset usang.

“Inisiatif ini adalah bagi memastikan TUDM dapat mengekalkan tahap kesiagaan tinggi dalam melaksanakan fungsi dan peranan kami.

“Menerusi kaedah sewaan ini, ia telah banyak membantu pengoperasian TUDM terutama dalam memenuhi tuntutan tugas utama dan sekunder bagi menampung keperluan operasi semasa. Selain itu kaedah ini dapat meningkatkan kapasiti warga dan pengekalan kesiagaan TUDM,” katanya.

Helikopter AW 139. Kaedah penyewaan Helikopter Utiliti berkeupayaan siang dan malam ini sebagai inisiatif jangka masa pendek bagi memenuhi jurang keupayaan sementara menanti perolehan baharu yang akan dilaksanakan pada RMK-13.

Sementara itu, Mohd. Asghar Khan ketika mengulas tentang keperluan pesawat tempur generasi kelima untuk TUDM berkata, ia memerlukan kajian lebih mendalam bagi mengimbangi kemampuan ekonomi dan keperluan semasa.

Jelasnya, hasrat tersebut amat bergantung kepada hala tuju pertahanan negara yang didukung perancangan pengurusan dan peruntukan kewangan kerajaan.

“Namun, TUDM telah meletakkan beberapa sasaran dalam memperkasakan keupayaan melalui peningkatan terhadap sistem persenjataan dan keupayaan tempur yang diaspirasikan di dalam
pelan strategik CAP55 bagi unjuran 10 tahun akan datang,” katanya.

Antara jenis pesawat tempur generasi kelima yang kini telah diguna pakai seperti F-35, Sukhoi 57, J-20 dan F-22 Raptor.

Turki juga kini giat membangunkan pesawat tersebut dengan dikenali sebagai TF-X.

Mohd. Asghar Khan turut menyatakan hasrat agar warga TUDM dilengkapkan dengan kemahiran tinggi berdasarkan perkembangan teknologi semasa dan keupayaan pertahanan udara negara.

“Beberapa perancangan khusus yang dilaksanakan adalah berdasarkan inisiatif seperti mempertingkatkan kualiti latihan dan pendidikan menerusi penggunaan teknologi, mewujudkan kumpulan pelapis yang berpotensi tinggi dan menyemarakkan budaya kecemerlangan serta kepimpinan,” jelasnya.

Beliau turut berharap agar TUDM mampu menjadi sebuah angkatan udara yang disegani di peringkat serantau dan global di samping berperanan melindungi kedaulatan dan keutuhan wilayah negara. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya