Tuanku Zara zahir penghargaan guru

Tuanku Zara zahir penghargaan guru

TUANKU Zara Salim menyampaikan Anugerah Diraja kepada N. Dusha yang ditemani kedua ibu bapanya pada Istiadat Konvokesyen UPSI kali ke-23 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan penghargaan kepada guru yang menyempurnakan tanggungjawab dan tugas berat mereka sebagai pendidik.

Baginda yang juga Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertitah, tugas mendidik tetap dilaksanakan walaupun dalam keadaan kurang peralatan sama ada di pihak pengajar atau dalam kalangan pelajar terutama yang mendiami kawasan akses internet yang amat lemah dan terhad.

“Dalam semangat berpatah sayap, bertongkat paruh, para guru telah sedaya dan sebaik mungkin menyempurnakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

“Para guru telah mempamerkan sifat istimewa yang luar biasa, sabar, tekun, gigih dan tabah,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Konvokesyen UPSI kali ke-23 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Tuanku Zara bertitah, cabaran yang dihadapi dan tekanan yang dialami guru ketika melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) merupakan pengalaman baharu dalam profesion keguruan.

Baginda bertitah, sebagai sebuah universiti yang berkait langsung dalam bidang pendidikan dan profesion keguruan, UPSI hendaklah menunjukkan minat yang tinggi, sebaiknya melakukan kajian dan menyediakan laporan mengenai pengalaman yang dilalui oleh para guru ketika melaksanakan sistem PdPR.

“Kajian dan laporan hendaklah mengenal pasti aspek kelemahan dan kekurangan serta penambahbaikan yang boleh disarankan. 

“Kajian dan laporan selanjutnya boleh dikemukakan sebagai maklum balas penting kepada kerajaan.

“Penemuan kajian mengenai PdPR hendaklah dijadikan pembuka mata kepada kerajaan dan profesion keguruan untuk menerokai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, praktikal dan realistik dalam suasana darurat dan di luar norma,” titah baginda.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff dalam ucapannya berkata, Times Higher Education, World University Ranking 2022 telah mengiktiraf UPSI sebagai universiti 801 di dunia dan kelapan terbaik dalam kalangan institusi pengajian tinggi awam di negara ini.

Menurutnya, UPSI juga berada di kedudukan 176 di dunia dalam subjek pendidikan berkedudukan 164 dalam Asia University Rankings buat kali pertama.

Pada  istiadat konvokesyen  yang berlangsung selama lapan hari bermula hari ini hingga 25 Jun, seramai 6,606 graduan menerima ijazah dan diploma. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya