Tuanku Zara lawat Sekolah Amanah di Manjung

Tuanku Zara lawat Sekolah Amanah di Manjung

TUANKU Zara Salim melihat pelajar Kelas Pembelajaran Khas melakukan seni kraf anyaman ketika melakukan lawatan ke Sekolah Amanah di SMK Seri Samudera di Seri Manjung hari ini. - UTUSAN/ SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim hari ini berkenan melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Samudera di Seri Manjung di sini, yang dipilih sebagai salah satu Sekolah Amanah di negeri ini.

Dalam lawatan itu, baginda dan hadirin diberi penerangan mengenai konsep Sekolah Amanah yang ketika ini terdapat 94 buah di seluruh negara.

Baginda turut dibawa melawat Kelas Pendidikan Khas yang mengajar Kemahiran Vokasional Spesifik dalam bidang seni kraf anyaman serta pembuatan roti.

Selain itu, Tuanku Zara melawat kelas yang menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran Cooperative Learning Structures (CLS) yang dilaksanakan di sekolah tersebut, sebelum melawat pameran yang disediakan.

SMK Seri Samudera, Manjung Raya, yang mempunyai 1,121 pelajar serta 95 guru mula beroperasi pada 2001 dan dipilih sebagai Sekolah Amanah pada 2017 dengan antara pencapaian diperolehi adalah mencatatkan kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Sekolah Amanah adalah sekolah awam yang diurus secara bersama di antara pihak swasta dengan pemimpin sekolah kerajaan, di bawah kawal selia Kementerian Pendidikan. 

Pemimpin atau pihak pengurusan Sekolah Amanah diberi lebih kebebasan dalam membuat keputusan dan dengan itu dipertanggungjawab bagi meningkatkan prestasi pelajar. 

Pelaksanaan konsep Sekolah Amanah bertujuan memupuk budaya inovasi, pembangunan pembelajaran abad ke-21, membangunkan kepimpinan dan pengurusan berkualiti, menghasilkan pelajar holistik dan menjadi rujukan kepada sekolah lain di sekelilingnya.

Setakat ini, Yayasan AMIR merupakan satu-satunya penaja sulung program Sekolah Amanah itu dan melantik LeapEd Services Sdn Bhd (LeapEd Services), sebuah penyedia perkhidmatan pendidikan tempatan yang diasaskan di Malaysia, untuk menguruskannya.

Baru-baru ini, konsep Sekolah Amanah menjadi sebutan apabila dua sekolahnya, iaitu SMK Kampung Jawa, Selangor dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang, Pahang, disenarai pendek sebagai calon dalam Anugerah Sekolah Terbaik Dunia.

Yang turut hadir pada program lawatan itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya