PETALING JAYA: Jemaah haji Malaysia menunjukkan semangat yang tinggi dalam menyempurnakan ibadah di Mekah malah sebaik sahaja tiba di Kota Suci itu lewat malam semalam, mereka terus bergerak ke Masjidilharam bagi melakukan umrah.
Bercakap kepada Utusan Online, Nadiah Noordin, 34, berkata, jemaah haji dari Melawati, Kuala Lumpur itu berkata, perasaan sayu tidak pernah luntur daripada dirinya sepanjang berada di Mekah dan merasakan begitu kerdil di sisi Allah.
“Sayu tak sangka berpeluang menjejakkan kaki ke kota suci Mekah ini, kalau bukan kerana kuasa Allah yang hadirkan saya ke sini, selalunya hanya mampu melihat di dalam televisyen dan di media sosial sahaja.
“Perasaan yang sungguh sedih dan dalam masa yang sama seronok, Allah mengurniakan kekuatan buat saya dan juga jemaah yang lain, walaupun tiba di Mekah pukul 10.30 malam, pada pukul 12 malam, kami ramai-ramai pergi buat umrah,” katanya melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, umrah yang dikerjakan bermula 12 malam itu berakhir pukul 3 pagi dan mereka tidak berasa penat meskipun berjalan hampir satu kilometer menuju ke Masjidilharam kerana bergerak secara berkumpulan.
“Disebabkan kami antara yang terawal sampai, kami semua dapat menunaikan umrah dalam keadaan yang tidak sesak. Semangat dalam kalangan jemaah bertalbiah dari hotel sampai ke Masjidilharam lebih kurang 850 meter membuatkan suasana meriah,” katanya.
Sementara itu, Umi Kalsom Hussin, 34, dari Ampang, Selangor berkata, dia sebak apabila melihat Masjidilharam ditambah pula azan dan bacaan doa imam didengari setiap hari di sini yang menyentuh jiwanya.
“Hari-hari saya berdoa untuk dapat ke sini, akhirnya Allah makbulkan doa saya. Allah itu Maha Baik, Allah jemput saya dan suami daripada beribu-ribu jemaah yang mohon untuk menunaikan haji. Alhamdulillah.
“Saya tak dapat nak gambarkan perasaan mendengar azan dan bacaan doa imam di sini, Subahanallah, masih lagi tidak percaya kaki sudah berada di tanah suci, Allah Maha Baik, sedap sangat dengar suara imam di sini membaca surah ketika solat berjemaah,” katanya.
Tambahnya, sejak tiba di Mekah, ia pengalaman baru baginya bermula dengan waktu solat yang berbeza di Malaysia, termasuk perlu memperbetulkan waktu tidur agar mendapat waktu rehat yang secukupnya.
“Perjalanan ke Masjidilharam mengambil masa 15 minit, jadi kami kena rancang awal untuk ke masjid kerana jika terlewat sampai ketika azan sudah berkumandang, tentu sukar untuk cari tempat solat dikehendaki.
“Tentu sahaja langkah seharian kami akan mencecah lebih 20,000 langkah. Bagaimanapun, itu bukan penghalang buat para jemaah beribadah sepanjang berada di sini,” katanya. – UTUSAN