PETALING JAYA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menafikan corak rawatan dan pemulihan dikendalikan agensi itu terhadap penagih ketika ini ‘ala tentera’ sebaliknya
tertumpu kepada kaedah lebih holistik dan prihatin.
Ia merangkumi aspek biologi, psikologi, sosial dan spiritual seseorang penagih menerusi Model i-Pulih AADK seiring dengan perubahan trend dadah.
Memberitahu Utusan Malaysia, agensi itu berkata, pendekatan itu dilakukan melalui program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) yang dikendalikan 109 pejabat AADK Daerah serta Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di 30 buah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) seluruh negara.
Katanya, perubahan trend penyalahgunaan dadah yang terarah kepada dadah sintetik atau tiruan menjadikan implikasinya lebih membimbangkan.
“Kesemua program rawat pulih ini dilaksanakan secara profesional selaras dengan pandangan baharu yang menyatakan bahawa masalah penagihan adalah suatu penyakit yang perlu dirawat.
“Isu penagih dibuli, dirotan, diseksa dan diberikan layanan yang tidak sepatutnya tiada dalam pendekatan rawat pulih AADK masa ini bahkan perkhidmatan disediakan jauh lebih mesra, prihatin dan disesuaikan dengan keperluan penagih,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, negara ini masih gagal mengekang ancaman dadah walaupun telah 39 tahun melawan musuh nombor satu negara malah jumlah rampasan dan golongan penagih semakin meningkat.
Presiden dan pengasas Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited Malaysia), Khalid Hashim dilaporkan berkata, banyak perkara tidak betul tentang usaha menangani penagih dan komited Malaysia yang mempunyai model berkesan sejak 1999 namun tidak diikuti.
“Saya berikan contoh hukuman sahaja, kalau libatkan penagih, hukuman rotan dikenakan cukup perit terkoyak kulit tetapi kalau isu rasuah, pengubahan wang haram, curi balak, mereka dirotan cara yang berbeza,” katanya.
Menurut AADK sebelum ini, kaedah rawat pulih agensi itu sememangnya menggunakan pendekatan ala tentera tough and rugged.
Bagaimanapun jelasnya, ini kerana pada waktu itu dilihat lebih bersesuaian dengan trend penggunaan jenis dadah organik seperti opiat, heroin dan morfin yang memberi kesan langsung kepada perubahan tingkah laku, pembentukan disiplin serta pemulihan fizikal.
“AADK sentiasa menyahut cabaran dengan mengubah kaedah pendekatan rawatan malah transformasi ini dibuat dari semasa ke semasa mengambil kira pelbagai faktor,” katanya.
Sementara itu, Pejuang Kepulihan Diari Survivor Kepulihan (DSK) menyangkal dakwaan pihak tertentu berhubung kegagalan Malaysia melawan musuh nombor satu negara itu yang disifatkan sebagai kurang tepat.
Presidennya, Suzaidy Sulaiman berkata, merawat pulih seseorang penagih perlu melalui proses panjang iaitu melalui Model i-Pulih AADK, malah sudah ramai klien (penagih) yang telah mengekalkan kepulihan sekali gus berjaya dalam kehidupan masing-masing.
“Kami Pejuang Kepulihan DSK sangat bersyukur dengan wujudnya AADK bagi merawat penagih dadah di Puspen dan di pejabat AADK daerah di seluruh negara. Jadi, tidak perlu kita pertikai atau melabel ia tidak berjaya. Bagi kami Pejuang Kepulihan DSK sudah ramai yang berjaya dalam kehidupan masing- masing,” katanya. – UTUSAN