Tiada jaminan ADUN kekal tanding PRU15 - Utusan Malaysia

Tiada jaminan ADUN kekal tanding PRU15

SAARANI Mohamad (tiga dari kiri) pada pelancaran jentera BN PRU15 Bahagian Parit di Seri Iskandar, Parit semalam. - UTUSASN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Barisan Nasional (BN) Perak mungkin mengemukakan lebih ramai calon baharu dan muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya juga tidak dapat memberi jaminan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sedia ada di bawah parti itu akan kekal atau ditukar pada PRU15.

Menurutnya, meskipun BN Perak mula menerima senarai cadangan daripada bahagian-bahagian terlibat, kajian perlu dijalankan terhadap individu yang dicalonkan.

“BN Perak akan memilih calon yang boleh memenangkan parti komponen berkenaan sekiranya bertanding pada PRU15.

“Bergantung kepada keadaan sebab kita tiada jaminan sama ada orang yang sedang menjadi ADUN akan terus kekal, kerana kemungkinan dia terpaksa digantikan.

“Kita perlu mengambil contoh apa yang berlaku pada PRN Melaka dan Johor, yang mana kita menunjukkan muka-muka baharu khususnya orang muda,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Jentera BN PRU15 Bahagian Parit, di dewan Serbaguna Seri Iskandar di sini malam tadi. 

Turut hadir Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria; ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah.

Sementara itu, Mohd. Nizar yang juga Pengerusi BN dan Ketua UMNO Bahagian Parit berkata, semua parti komponen BN Parit sudah bersedia untuk menghadapi PRU15.

Katanya, tumpuan perlu diberikan kepada pengundi muda dengan menyantuni serta mendekati golongan berkenaan supaya mereka memahami landskap politik.

“Kita tidak berhenti untuk bekerja dan komitmen semua ahli parti dan jentera memang mempunyai kesungguhan yang amat tinggi bagi memastikan kemenangan calon-calon BN baik di Parlimen mahupun dua DUN Belanja dan juga DUN Bota.

“Kita sudah mengerakkan beberapa aktiviti dan program. Itu merupakan strategi kita dan termasuk pendekatan anak muda khususnya 18 tahun ke atas kerana mereka sudah layak mengundi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN