Tempoh kuarantin lembu hidup diimport Thailand disingkatkan 3 hari

Tempoh kuarantin lembu hidup Thailand disingkatkan tiga hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mula memudahkan urusan pengimportan lembu hidup dari Thailand sebagai memenuhi keperluan tinggi bekalan penyembelihan bagi ibadah korban di Malaysia.

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), langkah itu susulan persetujuan bersama yang dicapai dengan Jabatan Pembangunan Ternakan Thailand (DLD).

“Ini termasuk tempoh kuarantin di Malaysia disingkatkan kepada hanya tiga hari,” katanya yang merujuk prosedur teknikal ditambah baik dengan pihak agensi negara jiran berkenaan.

Utusan Malaysia semalam melaporkan kebimbangan Persatuan Penternak Ruminan Perlis mengenai isu kekurangan bekalan lembu dari Thailand kerana protokol JPV yang terlalu ketat.

Keadaan ini mengakibatkan pengeksport enggan membawa lembu masuk ke negeri tersebut ekoran tempoh kuarantin minimum selama 14 hari dianggap cukup mustahil dapat dipenuhi.

JPV mula memansuhkan larangan import lembu Thailand pada 15 Mac lalu setelah dikenakan sejak 7 Jun 2021 susulan penularan penyakit kental kulit serta kuku dan mulut di negara itu.

Kelonggaran ini membolehkan umat Islam di Malaysia ada pilihan ruminan dari Thailand yang lebih murah berbanding Australia untuk aktiviti ibadah korban Aidiladha pada bulan depan.

Mengulas lanjut, JPV berkata, satu perbincangan teknikal khas dengan DLD diadakan pada 24 Jun lalu bagi memudahcara prosedur pengimportan lembu hidup untuk penyembelihan.

“Persetujuan dicapai ini memberi penyediaan pilihan dalam perakuan bebas penyakit sumber import bagi keperluan bekalan bersempena perayaan Aidiladha kelak,” jelas kenyataan itu.

Bagaimanapun, pengimport dan penternak domestik dinasihatkan agar mematuhi syarat kesihatan veterinar dipersetujui berasaskan kepada prosedur teknikal yang sudah dimudah cara.

Pihak terlibat ujarnya, diminta mendapatkan surat pemindahan ternakan antara negeri untuk tujuan pemantauan dan permit penyembelihan luar jika dibuat di luar premis rumah sembelih.

Dokumen tersebut boleh dimohon daripada pejabat JPV negeri atau daerah berdekatan supaya pegawai veterinar terlibat dapat melakukan pemeriksaan rutin ke atas ruminan diimport.

Langkah berkenaan juga akan memastikan ternakan yang dijadikan korban itu sifar jangkitan penyakit manakala daging diedarkan pula adalah selamat untuk dimakan oleh masyarakat.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menganggarkan sejumlah 12,000 ekor lembu dan kerbau Thailand dapat dibawa masuk bagi menampung keperluan ibadah korban kali ini.

Ruminan negara itu menjadi pilihan popular kerana harganya lebih kurang sama dengan lembu tempatan iaitu RM3,800 hingga RM5,700 seekor dengan berat 200 hingga 300 kilogram

Setakat ini, JPV mengesahkan ternakan dari Thailand masih bebas daripada penyakit tertentu antaranya Contagious Bovine Pleuropneumonia dan Bovine Spongiform Encephalopathy. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya