KUALA KRAI: Musim cuti persekolahan memberi limpahan rezeki kepada pengusaha rumah rehat di kawasan Dabong dan Jelawang, dekat sini apabila premis masing-masing penuh ditempah.
Situasi itu menyebabkan kira-kira 11 pengusaha di situ terpaksa menolak tempahan pelanggan kerana ketiadaan bilik sehingga hujung minggu ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Irfan Chalet Jelawang, Wan Zawiha Wan Hamad berkata, rata-rata pelanggan sudah menempah bilik penginapan sejak bulan lalu.
Katanya, ketika ini semua tiga buah rumah rehatnya penuh sehingga minggu depan.
“Biasanya pelanggan cuma menginap ketika hujung minggu, tetapi kali ini berbeza apabila bilik penuh pada hari biasa juga.
“Mereka mengambil kesempatan cuti musim persekolahan untuk bercuti bersama keluarga masing-masing di Dabong dan Jelawang,” katanya di sini semalam.
Wan Zawiha yang mengusahakan rumah rehat sejak empat tahun lalu berkata, dia bersyukur dapat menjana pendapatan dengan memberi sewa rumah rehat kepada pelancong.
Katanya, sebelum ini kawasan tumpuan pelancong suram sejak lebih dua tahun lepas susulan pelaksanaan sekatan pergerakan bagi membendung pandemik Covid-19, namun kini kembali meriah sekali gus memberi sinar baharu kepada peniaga sektor pelancongan di kawasan ini.
“Saya bersyukur dapat menjana pendapatan melebihi RM2,000 sebulan selepas Train to Dabong tular dalam media sosial dan menjadi tumpuan pelancong tempatan serta luar negeri.
“Rumah rehat saya sering menjadi tumpuan kerana hanya 10 minit dari Stesen Keretapi Dabong dan berada berdekatan dengan kawasan pelancongan seperti Gunung Stong dan Gua Ikan,” katanya. – UTUSAN