REMBAU: Seorang peniaga pisang terselamat daripada nahas membabitkan dua buah kenderaan dengan salah satunya terperosok ke gerai miliknya dalam kejadian di Kampung Lada, Chengkau, di sini semalam.
Maryani Mohd Yusuf, 29, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda (4X4) melanggar sebuah teksi yang mahu keluar dari persimpangan gerai yang bersambung dengan rumahnya itu.
“Saya berada di depan pintu rumah, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat dan kemudian melihat sebuah teksi sudah terperosok di hadapan gerai. Pemandu teksi berkenaan sebelum itu ada turun dan bertanyakan harga pisang tanduk.
“Ada dua orang lagi dalam teksi tersebut selain pemandu berkenaan. Hanya meja sahaja yang rosak dan mujurlah ketika kejadian tiada pelanggan lain di gerai ini,” katanya yang turut memberitahu sebelum ini terdapat kejadian kemalangan serupa namun hanya sipi mengenai gerai pisang tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah teksi dan kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah Seremban.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan pacuan empat roda ketika memotong telah masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan teksi dari arah bertentangan. – UTUSAN