Tasik surut, sawah di Kerian hampir kering - Utusan Malaysia

Tasik surut, sawah di Kerian hampir kering

PESAWAH, Khairul Afandi Razali menunjukkan petak sawahnya yang kering di Kampung Parit Haji Taib 2 di Bagan Serai. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Golongan pesawah khususnya di daerah ini berdepan masalah kekurangan air sawah untuk padi yang baharu ditanam susulan penurusan aras air di Tasik Bukit Merah.

Aras air di tasik itu semakin surut berikutan tiada hujan sejak kebelakangan ini selain cuaca panas.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan sawah di sepanjang tali air dari Bagan Serai hingga ke Tebuk Panchor, Bukit Merah mendapati, kebanyakan petak sawah padi sudah kering akibat ketiadaan bekalan air.

Kawasan yang mengalami masalah ketiadaan air sawah melibatkan kawasan seluas 12,405 hektar dari kompartmen D, E, F, G dan H di kawasan Bagan Serai, Alor Pongsu, Gunung Semanggol dan Selinsing.

Seorang Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parit Air Itam di sini, Siap Jeraai berkata, masalah ketiadaan air di petak sawah dialami sejak beberapa minggu lalu ekoran air Tasik Bukit Merah semakin surut.

Katanya, ini kali kedua masalah itu dialami pesawah disebabkan penyusutan air Tasik Bukit Merah.

“Sebelum ini pada Januari lalu masalah ketiadaan air disebabkan air Tasik Bukit Merah menyusut. Kali ini ia berlaku lagi dan yang membimbangkan kami air surut kali ini lebih kritikal berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, jika keadaan berterusan, pesawah bimbang petak sawah akan kering kontang dan menjejaskan padi yang baharu ditanam.

Katanya, difahamkan paras bacaan air di Tasik Kolam Bukit Merah agak kritikal iaitu pada paras 6.142 meter.

“Bacaan itu berada pada tahap kritikal dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menghentikan bekalan air untuk pengairan sawah padi pada masa ini.

“Saya turut dimaklumkan, keutamaan bekalan air pada masa ini adalah rawatan air mentah untuk kegunaan loji rawatan air (LRA) di Gunung Semanggol dan Parit Buntar,” katanya.

Menurut Siap, keadaan paras kritikal penyusutan air di kolam itu pernah berlaku pada April 2016.

Seorang pesawah, Sariffuddin Hassan, 35, berkata, untuk mengatasi masalah air sawah yang kerap berlaku, kerajaan negeri perlu melaksanakan cadangan membina terowong air dari Sungai Perak bagi menampung bekalan air di Tasik Bukit Merah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya