Tarikan pesta durian di Balik Pulau

Tarikan pesta durian di Balik Pulau

ORANG ramai tidak melepaskan peluang menghadiri pesta durian di Balik Pulau, Pulau Pinang yang bermula Jumaat lalu bagi mendapatkan pelbagai jenis varieti durian kegemaran masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Keadaan hujan dan lalu-lintas sesak bermula dari kawasan pusat bandar hingga ke Balik Pulau, bukan penghalang buat penggemar durian memburu raja buah itu di Pesta Durian Balik Pulau di Dataran Masjid Daerah Barat Daya, di sini.

Pesta itu bermula Jumaat lalu menghimpunkan pelbagai varieti durian yang ditanam di Balik Pulau kepada pengunjung antaranya udang merah, musang king, kun poh, durian hor lor dan duri hitam.

Dianggarkan lebih 3,000 penggemar durian mengunjungi pesta durian berkenaan hujung minggu lalu yang diadakan khas bagi mempromosi dan menggalakkan industri agropelancongan di daerah tersebut.

Malah bagi memudahkan pengunjung hadir, polis melaksanakan lencongan dan laluan sehala di kawasan Barat Daya untuk memastikan lalu-lintas lancar ketika festival berlangsung dan sepanjang musim durian.

Seorang peniaga durian, Mohd. Alif Aiman, 22, berkata, khusus untuk festival itu, dia membawa lebih satu tan metrik durian setiap hari untuk dijual kepada para penggemar buah berkenaan.

”Pesta ini satu peluang untuk para peniaga durian menggandakan pendapatan selepas kami terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

”Bermula Jumaat lalu, orang ramai tidak putus-putus berkunjung bagi mendapatkan pelbagai jenis buah durian kegemaran masing-masing,” katanya ketika ditemui di Pesta Durian Balik Pulau.

Mohd. Alif berkata, pihaknya menawarkan durian segar dengan harga berpatutan kepada pengunjung iaitu bermula RM5 hingga RM35.

”Buah durian diperoleh dari tiga ladang yang kami pajak di Sungai Ara, Teluk Kumbar dan di sekitar Balik Pulau.

”Selain membuka gerai jualan di pesta ini, kami juga membuka gerai jualan di Relau dan Bukit Jambul setiap hari sepanjang musim durian ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung pesta itu, Siti Fazilah Ismail, 32, berkata, dia dan rakan-rakannya mengambil peluang sempena cuti hujung minggu berkunjung ke pesta itu bagi mendapatkan durian Balik Pulau.

”Saya tinggal di kawasan Seberang Perai. Walaupun agak sesak ke Balik Pulau, saya dan rakan-rakan tetap datang ke daerah ini untuk membeli durian, malah harga durian di pesta ini berpatutan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah FAMA negeri, Mohd. Azraie Ramli berkata, terdapat 12 usahawan terdiri daripada peniaga durian dan peniaga jualan produk-produk berasaskan durian menyertai pesta tersebut.

“FAMA menyasarkan jualan sehingga RM250,000 bagi durian dan produk-produk berasaskan durian sepanjang pesta ini berlangsung dan setakat ini sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya