MELAKA: “Dunia itu perlu dijaga dan itu adalah tanggungjawab kita semua bersama. Dalam kata lain peranan manusialah yang sebenarnya mencorak dan menjaga bumi ini,” demikian titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Tunku Azizah bertitah, sikap memelihara serta memulihara bumi tidak boleh dipandang enteng dan semua pihak perlu memainkan peranan menjadi warga dunia yang bertanggungjawab.
“Jika bukan kita yang menjaga dunia ini, siapa yang hendak mempedulikannya? Dengan sikap tidak peduli dan membiarkan dunia ini dipenuhi dengan kemusnahan, di mana zuriat dan generasi masa depan hendak bertapak?
“Untuk itu sikap kepedulian bermula dari sekarang,” titah Raja Permaisuri Agong dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Ke-57 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong itu disambut Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri yang juga Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah kira-kira pukul 11.08 pagi.
Tunku Azizah yang juga Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri bertitah, tema ‘Dunia Kita, Masa Depan Kita Bersama’ amat bertepatan dengan fungsi dan peranan manusia sebagai makhluk ciptaan Tuhan.
Turut berlangsung majlis itu penyampaian 14 anugerah Pandu Puteri kepada 142 penerima antaranya Anugerah Apresiasi, Anugerah Srikandi, Anugerah Pandu Puteri Raja dan Bintang Kehormatan.
Dalam pada itu, Muhaini yang juga isteri kepada Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan merafak sembah turut menyentuh berkaitan bangunan Wisma Pandu Puteri di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur kini dalam proses naik taraf.
Beliau berkata, ia termasuk penyediaan bilik tamu, bilik mesyuarat baharu lebih luas, ruang kedai dan bahagian belakang wisma yang sedang dalam proses penambahbaikan ekoran tanah runtuh.
“Semoga segala kerja penambahbaikan ini berjalan lancar dan menjadikan Wisma Pandu Puteri lebih kondusif dan selesa serta dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk pelbagai aktiviti,” katanya. – UTUSAN