Tangan kanak-kanak tersangkut dalam paip kolam renang - Utusan Malaysia

Tangan kanak-kanak tersangkut dalam paip kolam renang

PASUKAN bomba dari BBP Masjid Tanah, Melaka menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan tangan kanak-kanak yang tersangkut dalam paip PVC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang kanak-kanak perempuan berdepan detik cemas apabila tangan kanannya tersangkut lebih 30 minit di dalam paip polivinil klorida (PVC) di sebuah resort di Pengkalan Balak di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, tangan mangsa yang berusia 11 tahun berjaya dikeluarkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Isharudin Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 5.15 petang dan mangsa dibawa terus oleh keluarganya ke BBP untuk bantuan.

“Mangsa telah dibawa keluarga ke BBP untuk mengeluarkan tangan kanan yang tersangkut di dalam PVC sepanjang satu meter. Tangan mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan khas dan operasi tamat pada pukul 5.49 petang,” katanya.

Tambahnya, mangsa bagaimanapun hanya mengalami melecet di tangannya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, difahamkan mangsa bersama keluarganya datang dari Kuala Lumpur untuk bercuti di resort tersebut.

“Kejadian dikatakan berlaku apabila kanak-kanak itu bermandi-manda di kolam renang resort sebelum bertindak memasukkan tangannya ke dalam paip saliran penyedutan air kolam. Semasa kejadian pam penyedutan air berfungsi dan tangan mangsa tersedut masuk ke dalam paip sepanjang satu meter itu,” jelasnya.

Katanya, pemilik resort kemudian bertindak memotong paip PVC tersebut bagi membolehkan kanak-kanak itu dibawa segera ke BBP bagi mendapatkan bantuan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya