GEORGETOWN: Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir setengah jam apabila kedua-dua belah pergelangan kakinya tersepit pada pintu lif dalam kejadian di Pangsapuri Desa Pinang 2, Jelutong, di sini malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 55 tahun berada seorang diri di dalam lif tingkat bawah blok perumahan terbabit.
Difahamkan, lif tersebut bergerak sendiri sebelum mangsa sempat menekan butang tutup.
Kejadian menimpa mangsa disedari orang awam yang sedang menunggu lif di aras bawah yang ternampak pergelangan kaki mangsa dalam keadaan tersepit pada bahagian atas celah pintu lif sebelum menghubungi bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’ Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 11.42 malam dan tiba di lokasi kurang lima minit kemudian.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba anggota bomba mendapati keadaan kaki mangsa masih dalam keadaan tersepit antara lif aras bawah dan tingkat satu.
“Anggota bomba kemudiannya membuka pintu lif menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dari tempat kejadian.
“Mangsa berjaya dikeluarkan kurang 15 minit kemudian dan diberi rawatan awal oleh anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami luka pada kedua-dua pergelangan kaki dan operasi tersebut tamat sepenuhnya pukul 12.19 tengah malam. – UTUSAN