Surau tertua, bersejarah kembali diguna

Surau tertua, bersejarah kembali diguna

NORDIN Abdul Malek menunjukkan surau lama yang dibaik pulih untuk digunakan penduduk di Kampung Bandar Tua, Pasir Salak, Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Sebuah surau dipercayai antara tertua di negeri ini di Kampung Bandar Tua, di sini yang uzur dan terbiar akhirnya dibaik pulih dan kini boleh digunakan penduduk setempat.

Madrasah Bumbung Lima atau kini dikenali Surau Latiffiah dikatakan berusia lebih tiga abad dan pernah menjadi sebahagian sejarah perkembangan Islam di daerah Perak Tengah.

Surau itu diasaskan seorang individu bernama Alang Abd. Latif dibina pada abad ke-18.

Pengerusi Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek yang membantu memperjuang usaha menyelamatkannya berkata, surau itu adalah lambang warisan syiar Islam di Perak Tengah yang tidak sepatutnya dibiarkan atau lenyap begitu sahaja.

Katanya, keadaan surau yang uzur dan terbiar itu dimaklumkan penduduk kampung kepadanya pada Oktober tahun lalu dan meminta agar ia dibaik pulih semula kerana nilai sejarahnya.

“Kerjasama pihak media yang menyiarkan berita mengenai keadaan surau itu menarik perhatian banyak pihak termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Kini surau ini dibaik pulih dan bakal dimanfaatkan oleh penduduk dan dipulihara sebagai warisan syiar Islam di Perak Tengah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Bandar Tua, Nazihah Abdul Ghapar berkata, arwah bapanya, Abdul Ghapar Jais, adalah imam kedua terakhir di surau berkenaan sebelum semua aktiviti berpindah ke masjid baharu yang dibina berhampiran.

“Surau ini pernah menjadi pusat aktiviti agama seperti kelas mengaji penduduk kampung berhampiran seperti Kampung Biak Hilir, Kampung Pasir Jenderis dan beberapa kampung lain.

“Sejarah dan keunikan surau ini perlu dipulihara sebagai warisan syiar Islam di Perak Tengah,” katanya.

Surau itu mempunyai reka bentuk unik iaitu berbumbung lima.

Surau berkenaan terbiar selepas bangunan itu tidak digunakan sejak 2015, cuma bahagian bawahnya dijadikan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al-Latifiah.

Surau itu pernah menjadi sebahagian sejarah perkembangan Islam di Perak Tengah dan merupakan pusat pengajian agama yang mempunyai ratusan pelajar di seluruh negara.

Selain itu, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dikatakan pernah mengunjungi madrasah terbabit ketika usaha kempen kemerdekaan negara pada 1956.

Mengikut cerita sejarah, surau itu dibina menggunakan kayu balak yang dibawa gajah dengan menyeberangi Sungai Perak

Ia juga menjadi pusat aktiviti penduduk kampung termasuk mendapatkan rawatan doktor yang datang melalui jalan air dari Teluk Intan sekitar 1960-an dan 1970-an.

Berhampiran madrasah terdapat jeti dan ketika itu, Sungai Perak seolah-olah seperti ‘lebuh raya’ sampan penambang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya