MELAKA: Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak petisyen difailkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad bagi mencabar keputusan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd. Aleef Yusof di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati segala tuduhan yang dilemparkan menerusi petisyen berkenaan adalah tidak berasas.
Peguam Rosli Dahlan yang mewakili Mohd. Aleef ketika ditemui pemberita berkata, perbicaraan telah dijalankan bermula 24 Mac lalu dan seramai 20 saksi dikemukakan oleh pihak pempetisyen dan responden sepanjang prosiding itu.
Katanya, mahkamah hari ini memutuskan untuk menolak lima tuduhan yang dikemukakan dengan masing-masing dua terhadap Mohd. Aleef dan tiga terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pertuduhan itu mengenai dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu melakukan sogokan untuk meraih undi pasukan tentera pada PRN lalu.
“Dalam keputusan Hakim yang dibacakan dalam 35 muka surat, Yang Arif memperincikan satu persatu bahawa tidak berlaku penyelewengan terhadap pihak SPR, tidak berlaku penyogokan oleh Mohd. Aleef sebagai pemenang pilihan raya tersebut.
“Malah secara rambangnya kita lihat dia (pempetisyen) mengadu bahawa ada penyelewengan jumlah undian, kalaulah yang dikatakan itu berlaku ia tetap tidak menjejas pun keputusan,” katanya.
Jelasnya, bagaimanapun keputusan oleh Mahkamah Pilihan Raya pada hari ini secara langsung memberikan kepastian dan menjelaskan segala tuduhan dilemparkan tidak berasas.
Dalam prosiding yang dijalankan, Mohamad Ali yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tidak hadir dan diwakili barisan peguamnya, Amin Othman, Datin Rosfinah Rahmat, Wan Hamidah Wan Ismail dan Nor Hazira Abu Haiyan. – UTUSAN