SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, dana yang digunakan oleh Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) untuk diberikan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah dari Hong Kong.
Perkara itu didedahkan bekas Pengurus Pentadbiran syarikat berkenaan, David Tan yang memaklumkan penghantaran wang berkenaan adalah melalui sebuah syarikat pengurup wang.
Dalam sesi pemeriksaan semula yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, David Tan atau nama sebenarnya Tan Siong Sun menjelaskan dana tersebut diperoleh melalui rakan niaga di negara tersebut.
“Rakan niaga kami mahu bantu kami untuk uruskan dana politik. Kemudian syarikat pemegang saham di Hong Kong memberitahu akan menghantar wang berkenaan melalui akaun yang disediakan oleh syarikat pengurup wang tersebut.
“Penghantaran wang tunai itu diuruskan oleh syarikat pengurup wang. Bila proses penghantaran selesai, syarikat tersebut membawa tunai dalam mata wang ringgit, dolar Singapura (S$) dan lain-lain kepada saya,” kata saksi pendakwaan ke-17 (SP17) di hadapan Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa.
Jelasnya, kesemua duit tersebut disimpan dalam peti simpanan dekat pejabat UKSB di Wisma UOA, Kuala Lumpur.
Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri dalam tujuh pertuduhan didakwa menerima sejumlah wang tunai S$1,150,000; RM3 juta, 15,500 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.
Dalam 33 pertuduhan lain berjumlah S$13.56 juta, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa wang tersebut daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya melanjutkan kontrak pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sementara itu David Tan, dalam kenyataan saksi bertulisnya memberitahu wang yang dikatakan sebagai sumbangan politik secara bulanan kepada Ahmad Zahid selepas diarahkan bekas pengarah, Harry Lee Vui Khiun.
Menurutnya, sumbangan diberikan selepas beliau, Harry Lee dan Wan Quoris Shah bersetuju secara prinsipal untuk memberikannya bagi mengukuhkan kedudukan UKSB sebagai kontraktor tunggal dalam pembekalan perkhidmatan visa.
“Dalam perbincangan, kami bersetuju untuk memberikan sumbangan secara bulanan sebanyak S$200,000. Tugas saya adalah memastikan kami ada wang yang cukup untuk memenuhi permintaan Datuk Seri (Ahmad Zahid).
“Sumbangan pertama itu dibuat pada Oktober 2014 kemudian dinaikkan kepada S$300,000 pada Mei 2015 selepas diminta Datuk Seri seperti dimaklumkan Harry Lee.
“Kemudian pada Julai 2017, sumbangan dinaikkan kepada S$520,000. Kami putuskan untuk beri sebanyak itu selepas Harry Lee memberitahu Datuk Seri minta sumbangan dinaikkan, tetapi jumlah itu ditentukan Wan Quoris yang membuat kiraan berdasarkan kalau tidak silap saya dia (Wan Quoris) kata 190 bahagian UMNO iaitu RM10,000 setiap satu atau RM1.9 juta keseluruhan,” jelasnya.
Pada prosiding sebelum ini, Peguam Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad Zahid membangkitkan kemampuan UKSB untuk memberi rasuah atau hadiah berdasarkan laporan kewangan tahunan syarikat ketika menyoal bekas pengarahnya, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani.
Dalam sesi tersebut, Wan Quoris yang juga dikenali sebagai ‘Wan Badak’ mengaku laporan kewangan syarikat tahun 2014 hingga 2018 hanya mencatatkan keuntungan sekitar RM114,572 hingga RM6.52 juta dan duit dalam akaun sebanyak RM442,000 hingga RM4.6 juta. – UTUSAN