‘Sudah tujuh tahun berlalu, kehilangan mereka masih terasa’ - Utusan Malaysia

‘Sudah tujuh tahun berlalu, kehilangan mereka masih terasa’

RICHARD Soibi (tiga dari kiri) semasa membawa pendaki mendaki Gunung Kinabalu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: ‘Tidak juga rasa meremang bulu apabila lalu di kawasan ramai pendaki terkorban tapi, kena lebih berhati-hati’.

Demikian kata Malim Gunung, Richard Soibi, 56, ketika mengimbau pengalaman dirasai ketika berada di sekitar Kilometer (KM) 6.8 Gunung Kinabalu iaitu kawasan ramai pendaki terkorban semasa tragedi gempa bumi pada 2015.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jelasnya, sehingga kini, kawasan di KM 6.8 Gunung Kinabalu itu masih lagi diwartakan tidak selamat.

Menurut beliau, itu sebabnya apabila lalu di situ, malim gunung sentiasa mengingatkan pendaki bahawa kawasan tersebut berisiko maka perlu sentiasa berhati-hati.

“Bagi saya sendiri, hubungan kekeluargaan dengan keluarga malim yang terkorban masih berterusan.

“Perasaan kehilangan rakan malim gunung masih lagi terasa biarpun sudah tujuh tahun berlalu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Pada 5 Jun 2015, sekitar pukul 7.15 pagi, tragedi gempa bumi berukuran 6.0 skala Richter yang melanda Ranau telah meragut nyawa 18 orang pendaki termasuk empat malim gunung.

Gempa bumi itu turut menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh di Kampung Kiau, Kota Belud serta membawa kepada keretakan beberapa struktur bangunan di Ranau dan Kota Belud.

Rakyat Malaysia yang terbunuh ialah Lim Choon Seong (pendaki); Muhammad Loqman Abd. Karim (pendaki); Mohd Khairuladzuan Abd. (pendaki); Valerian Joanes (kakitangan Mountain Torq); Ricky Masarin (kakitangan Mountain Torq); Joseph Solugin (malim gunung) dan Robbie Sapinggi (pelatih gunung).

Richard menambah, sejak insiden gempa bumi itu, Taman-Taman Sabah (TTS) mula mengadakan simulasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Gunung Kinabalu setiap 5 Jun.

Akibat gempa bumi yang berlaku, ada antara malim gunung yang berhenti kerja akibat trauma dengan tragedi itu.

Richard yang juga bekas Pengerusi Persatuan Malim Gunung pada masa itu rasa bersyukur kerana upacara memperingati mangsa gempa bumi masih dilakukan setiap tahun.

Semalam, upacara memperingati turut diadakan sekali dengan simulasi SAR Gunung Kinabalu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS, Peter Lintas berkata, pengurusan TTS memahami tugas dan tanggungjawab sebagai malim gunung dan porter sentiasa berhadapan dengan risiko yang tidak dijangka.

Justeru, pihak pengurusan bersetuju untuk mempertimbangkan kenaikan upah malim gunung dan porter dengan harapan kenaikan kadar upah itu akan memberi lonjakan semangat dan dorongan kepada mereka untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang.

Namun menurutnya, sebelum kenaikan dilaksanakan, persatuan Malim Gunung hendaklah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan dan pengoperasian perkhidmatan dan tanggungjawab malim gunung lebih jelas dan telus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya