GEORGETOWN: Kapal persiaran Royal Caribbean, ‘Spectrum of the Sea’ dari Singapura yang akan berlabuh di Port Swettenham di sini pada 2 Julai depan merupakan satu berita baik untuk industri pelancongan dan perkhidmatan di negeri ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, sejak 18 Mac 2020 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan akibat Covid-19, tidak ada kapal persiaran antarabangsa yang berlabuh di Pulau Pinang selama lebih dua tahun.
”Spectrum of the Sea pada asalnya dijadual berlabuh di Pulau Pinang pada 18 Jun, tetapi akhirnya tidak dapat berlabuh kerana menghadapi beberapa masalah dengan Jabatan Imigresen.
“Kini semuanya telah diatur dengan baik dan Spectrum of the Sea yang akan berlabuh pada 2 Julai ini adalah peluang yang dinanti-nantikan oleh banyak industri yang berharap pelancong dapat meningkatkan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, SPPP telah bersedia sepenuhnya dalam usaha memberi kerjasama dengan ketibaan kapal persiaran itu.
Kata beliau, ia termasuk mesyuarat antaranya dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan; agensi-agensi kerajaan negeri Pulau Pinang; Jabatan Kesihatan Pelabuhan Pulau Pinang; Jabatan Imigresen; Royal Caribbean Cruises Ltd. dan banyak lagi.
Tambahnya, mesyuarat tersebut bertujuan menyelaras kerja-kerja persiapan sebelum ketibaan kapal persiaran.
”Selain itu, pemeriksaan menyeluruh terhadap operasi pelabuhan telah dijalankan untuk memastikan apabila kapal persiaran besar itu tiba, para pelancong akan disambut dengan baik. Selepas perjalanan ini, Spectrum of the Sea akan berlabuh di Pulau Pinang dua kali seminggu,” katanya.
Beliau berkata, kemasukan kembali kapal persiaran antarabangsa adalah berita baik bagi ekonomi Pulau Pinang dan akan memacu perkembangan industri pelancongan negeri itu.
”Selepas pelaksanaan dasar pembukaan negara, industri berkaitan dengan pelancongan secara beransur-ansur kembali kepada kegemilangan dahulu,” katanya. – UTUSAN