BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 13 aduan berkaitan penyorokan barang kawalan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini sehingga semalam.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, aduan tersebut dianggap sebagai impak positif daripada pengguna dan peniaga susulan Kempen Anti Sorok Barang Kawalan yang dilaksanakan ketika ini.
Azman bagaimanapun berkata, jumlah kes yang terhasil daripada 13 aduan itu tidak dapat ditentukan sepenuhnya kerana hasil risikan lanjut mendapati ada kes yang berlaku di lokasi berbeza daripada aduan yang diterima.
“Sebab itu, apabila pengguna mahu aduan disiasat dengan cepat dan berkesan, maka kami di KPDNHEP memerlukan data yang lengkap.
“Contohnya, alamat serta barang yang disorok bagi membolehkan kami membuat siasatan segera,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi pemeriksaan bekalan barang keperluan harian di peringkat borong/runcit di premis perniagaan di Taman Industri Cherok Tokun di sini hari ini.
Dalam pada itu Azman berkata, selain pelaksanaan Kempen Anti Sorok, KPDNHEP juga sentiasa serius membendung kegiatan penyelewengan barang kawalan subsidi yang menjadi penyumbang utama kepada ketirisan subsidi dan gangguan bekalan barang kawalan di pasaran.
Jelasnya, hasil tindakan berterusan dalam memerangi penyelewengan barang kawalan/subsidi sejak 2018 hingga Mei lalu, sebanyak 367 kes telah dihasilkan melibatkan minyak masak, tepung gandum (197) dan petrol (322).
“Turut direkodkan adalah sebanyak 301 kes melibatkan diesel dan 586 kes gas petroleum cecair dengan nilai rampasan bagi keseluruhan kes adalah RM27.23 juta,” jelasnya.
Sehubungan itu tambah Azman, pihaknya memberi amaran keras kepada mana-mana individu dan syarikat agar tidak terbabit atau bersubahat dengan melakukan aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan/subsidi bagi mengelakkan dikenakan tindakan.
Dalam masa sama, beliau menggalakkan masyarakat menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan/subsidi ini bagi memastikan aktiviti haram itu dapat dibanteras sehingga ke akar umbi. – UTUSAN