SHAH ALAM: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa di Klang, Selangor terpilih dalam 10 senarai pendek sekolah terbaik di dunia bagi kategori ‘Menangani Cabaran’ menerusi Hadiah Sekolah Terbaik Dunia daripada T4 Education.
Sekolah berkenaan tersenarai bersama sembilan dari negara lain seperti Australia, Brazil, Afrika Selatan, Kenya, Jamaica, Uganda, Nigeria dan India.
Turut tersenarai adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang di Kuantan, Pahang yang juga disenarai pendek bagi kategori ‘Inovasi’ bersama sekolah dari United Kingdom (UK), Greece, Brazil, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE), India, Chile dan Zimbabwe.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif T4 Education, Vikas Pota berkata, terdapat lima kategori dalam anugerah Hadiah Sekolah Terbaik Dunia yang merangkumi Penglibatan Kemasyarakatan, Inovasi, Tindakan Alam Sekitar, Sokongan Hidup Sihat dan Menangani Cabaran.
Menurutnya, daripada 10 sekolah di seluruh dunia dalam setiap kategori akan dikenal pasti tiga terbaik yang akan diumumkan pada September ini sebelum pemilihan pemenang sebenar diberitahu pada bulan berikutnya.
“Tiga finalis bagi setiap kategori akan diumumkan selepas undian daripada badan awam, pemenang pula akan dipilih berdasarkan kriteria yang ketat dan dinilai oleh pemimpin dari seluruh dunia termasuk pendidik, organisasi bukan kerajaan (NGO), usahawan sosial, aktivis masyarakat, pemimpin kerajaan dan sektor swasta. Pemenang yang diumumkan pada Oktober nanti dalam Minggu Pendidikan Dunia akan membawa pulang AS$50,000 (RM219,675) yang mana jumlah hadiah keseluruhan bagi setiap kategori adalah sebanyak AS$250,000 (RM1.01 juta),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, selain memenangi hadiah wang tunai, sekolah yang disenarai pendek pada peringkat 10 yang terbaik juga akan diberi peluang untuk berkongsikan kaedah dan amalan bagi kategori berkaitan dalam Minggu Pendidikan Dunia pada Oktober nanti.
Malah, amalan pengurusan sekolah juga akan dikongsikan menerusi kit khas yang dikeluarkan oleh T4 Education sebagai panduan kepada semua sekolah-sekolah di seluruh dunia.
“Dalam kit tersebut, sekolah akan berkongsi ‘rahsia’ yang menjadi sumber dalam pendekatan inovasi dan arahan langkah demi langkah dan menjadikannya sebagai contoh untuk menambah baik pendidikan di mana-mana,” jelasnya.
Kata Vikas, inisiatif yang diambil oleh T4 Education adalah sebagai pengiktirafan dan pemangkin kepada sekolah-sekolah yang melibatkan lebih 1.5 bilion pelajar di seluruh dunia untuk mencapai matlamat Pendidikan Universal Berkualiti menjelang 2030.
“Lebih 1.5 bilion pelajar di sekolah dan universiti seluruh dunia terkesan dengan penutupan institusi pendidikan yang diburukkan dengan wabak Covid-19 dalam masa sama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah memberi amaran mengenai kelembapan perkembangan pendidikan dunia untuk mencapai matlamat tersebut pada 2030. Justeru, kamu melancarkan Hadiah Sekolah Terbaik Dunia sebagai penyelesaian di peringkat akar umbi untuk membantu melaksanakan perubahan bersistematik seperti yang diperlukan bagi menunjukkan perubahan sebenar masyarakat,” jelasnya. – UTUSAN