PONTIAN: Polis menumpaskan sindiket penyelewengan minyak enjin terpakai selepas menahan lima individu termasuk tiga warga asing dalam serbuan ke atas sebuah kilang di Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas, di sini kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Johor, Senior Asisten Komisioner Jalaludin Hamid berkata, dalam serbuan pada pukul 5.30 petang itu, pihaknya turut merampas 128,000 liter minyak enjin terpakai bernilai RM230,400.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 26 tahun hingga 49 tahun termasuk pemilik kilang yang merupakan warga tempatan berusia 48 tahun.
“Modus operandi digunakan sindiket ini adalah membeli minyak enjin terpakai pada harga 30 sen seliter daripada kilang-kilang kecil dan bengkel sebelum diproses dan dijual semula pada harga RM1.80 seliter.
“Minyak enjin terpakai yang diproses secara haram ini tidak sesuai digunakan untuk enjin kenderaan, sebaliknya boleh digunakan oleh mesin dan jentera di kilang.
“Sindiket ini dipercayai menjual minyak terpakai berkenaan kepada pihak industri bagi pasaran di sekitar Johor dan Kuala Lumpur serta Pelabuhan Klang. Mereka juga dipercayai telah beroperasi lebih enam bulan,” katanya dalam sidang akhbar di premis berkenaan, di sini hari ini.
JALALUDIN Hamid dalam sidang akhbar di Pontian, Johor.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan dan jentera digunakan sindiket berkenaan termasuk 12 lori tangki, 134 tong IBC, 420 drum, 11 pam penyedut minyak, 67 tong asid sulfurik dan lain-lain dengan nilai keseluruhan RM7.3 juta.
“Kilang ini berdaftar, namun ia tidak mendapat kelulusan atau lesen sah untuk memproses barangan berjadual seperti minyak enjin terpakai, itu salah di sisi undang-undang.
“Sementara itu, dua warganegara tempatan yang ditahan dibebaskan dengan jaminan manakala tiga warga asing terdiri daripada dua Bangladesh dan seorang Indonesia ditahan reman selama 14 hari bermula tarikh tangkapan,” katanya.
Jalaludin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 34(B)(1)(A) dan Seksyen 19(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN