Sikap pemandu kenderaan berat punca utama kemalangan - Utusan Malaysia

Sikap pemandu kenderaan berat punca utama kemalangan

ANGGOTA penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor memeriksa lori-lori treler dalam operasi 'Op Selit' di susur keluar lebuh raya Plaza Tol Bukit Raja. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sikap pemandu kenderaan berat seperti treler dan lori yang tidak mengutamakan keselamatan pemandu kenderaan lain adalah antara punca utama berlaku kemalangan.

Pensyarah Pusat Pemanduan Bijak (SDRC), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, golongan itu juga merasakan bahawa pemandu kenderaan ringan lain akan memberi keutamaan kepada mereka di atas jalan raya.

“Selain itu, ketiadaan sistem pengesanan daripada syarikat-syarikat pengangkutan atau logistik tentang cara pemanduan pemandu dan berapa had laju yang dibawa juga berkemungkinan menjadi punca berlakunya kemalangan.

“Ini menyebabkan pemandu-pemandu tersebut memandu atas kapasiti sikap sendiri di samping sudah terbiasa dengan cara pemanduan berbahaya yang dilakukan berpuluh-puluh tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan empat maut dalam dua kejadian berasingan membabitkan treler dan lori.

Di Kampar, dua beradik maut setelah kereta dinaiki yang dipandu bapa mereka terlibat kemalangan dengan sebuat treler di Kilometer 310.4, Lebuh raya Utara-Selatan arah selatan.

Sementara itu, di Kuala Selangor, tindakan dua lelaki menukar tayar kereta di tepi jalan berakhir tragedi selepas dilanggar sebuah lori di Kilometer 11.5 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, Bukit Rotan mengakibatkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Munzilah berkata, punca lain kemalangan melibatkan kenderaan berat berlaku berkemungkinan daripada syarikat pengangkutan atau logistik yang tiada akses untuk melihat latar belakang pemandu yang diambil bekerja.

“Syarikat ini tidak mempunyai akses untuk melihat latar belakang pemandu yang bakal diambil bekerja. Sama ada mereka pernah melakukan kesalahan lalu lintas dan mempunyai saman yang banyak atau tidak.

“Jika syarikat-syarikat pengangkutan boleh mengakses sistem tersebut, secara tidak langsung, mereka tidak akan mengambil individu itu untuk bekerja kerana mempunyai latar belakang pemanduan yang tidak selamat,” jelasnya.

Justeru, katanya, pihak tertentu seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepatutnya mengadakan satu kursus khas kepada pemandu kenderaan berat khususnya treler dan lori untuk meningkatkan tahap pemanduan dan kualiti servis yang baik.

“Sebelum pemandu menyambung lesen, pihak JPJ atau syarikat pengangkutan itu sendiri perlu mewajibkan mereka menghadiri kursus selama satu hingga dua jam bagi mengingatkan mereka semula tentang cara-cara pemanduan berhemah terutama dari segi keselamatan.

“Di samping itu, syarikat-syarikat pengangkutan mahupun logistik sewajarnya menggunakan sistem pengesanan atau sistem penarafan yang membolehkan syarikat memantau cara pemanduan pemandu, tingkah laku semasa memandu dan sebagainya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya