Si cilik bertelinga bionik - Utusan Malaysia

Si cilik bertelinga bionik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pasukan pembedahan implan koklea Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) melakar sejarah apabila berjaya melakukan pembedahan berkenaan ke atas bayi termuda di Asia Tenggara.

Kaan Ming Huen, berusia tujuh bulan ketika menjalani pembedahan implan koklea ke atas kedua belah telinganya secara serentak pada 6 April lalu. Ming Huen disahkan tidak dapat mendengar selepas gagal dalam lima ujian saringan pendengaran dijalani sejak dilahirkan pada 6 September 2021.

Implan koklea adalah alat elektronik yang dimasukkan di belakang telinga melalui pembedahan bagi memberikan deria bunyi kepada pesakit yang tidak dapat mendengar atau pendengaran terjejas teruk.

Telinga bionik memiliki fungsi berbeza dengan alat bantu pendengaran konvensional, di mana alat bantu pendengaran konvensional berfungsi menguatkan bunyi, manakala implan koklea pula menggantikan fungsi koklea di bahagian telinga dalam yang rosak bagi memproses bunyi untuk menghantar isyarat ke otak.

Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi HUKM, Prof. Dr. Goh Bee See yang mengetuai pembedahan itu berkata, pembedahan rumit dan mencabar itu berjaya mengatasi rekod pembedahan bayi termuda berusia lebih tujuh bulan yang pernah dipegang oleh Singapura sebelum ini.

“Setiap satu telinga mengambil masa antara dua hingga tiga jam untuk dibedah. Lebih kecil bayi, lebih mencabar. Pembedahan dijalankan di bawah mikroskop bagi memastikan tiada sebarang kesan ke atas saraf. Implan koklea ada bahagian dalam dan luar. Alat ini ditanam di bawah kulit kepala dan elektrod dengan kurang satu milimeter dimasukkan ke dalam struktur pendengaran yang rupanya seakan siput.

“Setiap pembedahan ada risiko tapi risiko untuk pembedahan ini terlalu kecil. Persediaan dan ujian teliti dijalankan beberapa bulan untuk melihat kesesuaian serta kesihatan bayi sebelum pembedahan dijalankan. Risikonya seperti jangkitan tetapi akan pesakit akan diberi ubat antibiotik dan ibu bapa akan diajar cara menjaga luka di rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bayi akan menjalani CT Scan dan MRI di bahagian telinga serta otak untuk memastikan struktur telinga sama ada normal atau sebaliknya.

Bagi Ming Huen, struktur telinganya adalah normal tetapi telinga dalam tidak berfungsi, menyebabkan bunyi tidak sampai ke otak di bahagian pendengaran.

Terapi intensif
Sebelum pembedahan dilakukan, bayi perlu menjalani terapi audiologi dan pertuturan secara intensif.

Penjaga juga perlu tahu cara berkomunikasi dengan anak mereka dan perlu ada komitmen untuk memahami segala keperluan penjagaan implan koklea.

“Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perintis implan koklea sejak 1995. Jadi, dengan pengalaman dan latihan yang dijalani, pembedahan ini berjaya dijalankan. Setakat ini, lebih 600 pembedahan sudah dijalankan membabitkan hampir 85 peratus kanak-kanak termasuk kanak-kanak berusia bawah tiga tahun.

“Mengikut Food and Drug Administration (FDA), umur 12 bulan sesuai menjalani pembedahan tetapi beberapa tahun lalu paras usia ini sudah diturunkan kepada enam bulan.

“Saiz alat pendengaran ini juga boleh digunakan untuk semua lapisan usia kerana sebenarnya struktur koklea kita tidak berubah sejak dilahirkan,” katanya.

Berdasarkan data negara ini, dalam 1,000 bayi, terdapat dua atau tiga bayi mengalami masalah pendengaran.

Ujian saringan dapat mengesan lebih awal masalah dihadapi, menggunakan sejenis alat yang akan mengeluarkan keputusan lulus atau tidak.

Bedah awal usia bantu pertuturan anak

Faktor umur sangat penting untuk memastikan seseorang itu mampu bertutur dengan baik dan normal. Sekiranya pendengaran kurang baik, sukar untuk bayi dan kanak-kanak belajar bercakap seterusnya menyebabkan pertuturan tidak lancar.

Bagi membolehkan seseorang itu bertutur, telinga perlu mendengar semua frekuensi rendah, sederhana dan tinggi kerana setiap perkataan memiliki frekuensi berbeza.

“Sebenarnya telinga sudah mula berfungsi sejak usia lima bulan dalam kandungan ibu dan sudah boleh mendengar pada kehamilan enam bulan. Sepatutnya sebaik saja lahir, bayi sudah boleh mendengar.

“Sekiranya tidak mendengar langsung sejak dari kandungan lagi, bahagian otak dan telinga serta pertuturan akan terjejas dan tidak berkembang kerana ia saling berkaitan antara satu sama lain. Sekiranya masalah pendengaran lewat diatasi, sukar untuk mereka belajar bercakap.

“Waktu ‘emas’ adalah sebelum usia tiga tahun sudah sewajarnya menggunakan alat bantu dengar atau implan koklea supaya proses pembelajaran mereka berjalan lancar. Bayi mula mengeluarkan bunyi bubbling pada usia enam hingga sembilan bulan,” katanya.

Jelas beliau lagi, pembedahan perlu dijalankan seawal mungkin bagi membolehkan kanak-kanak masuk ke sekolah aliran perdana dan belajar secara normal termasuk menyertai pelbagai aktiviti lain. Ini terbukti apabila ramai yang berjaya dalam akademik selepas menjalani pembedahan berkenaan.

“Ramai ibu bapa menganggap anak masih kecil dan tidak mengapa jika tidak mendengar atau bertutur. Hakikatnya tidak dapat mendengar adalah satu ‘kecemasan perkembangan neuro’.

Implan koklea kecil, canggih

Teknologi implan koklea kini lebih canggih berbanding sedekad lalu.

Ia kini lebih kecil dan tidak begitu menonjol apabila dipakai berbanding sebelum ini.

Alat di bahagian luar yang dilekatkan pada bahagian belakang kepala dilengkapi bluetooth di mana pemakai boleh mendengar secara stream.

Ibu bapa juga boleh memantau tahap bateri atau masalah lain pada alat berkenaan melalui aplikasi di dalam telefon.

‘Tak sangka anak tidak dapat mendengar’

Teo Hooi Sing dan suami, Kaan Chee Shing tidak menyangka bayi perempuan mereka yang lahir sempurna secara fizikal, rupa-rupanya tidak dapat mendengar.

Lima kali menjalani ujian saringan pendengaran, kelima-limanya menunjukkan keputusan mengecewakan. Ming Huen yang baru beberapa minggu dilahirkan disahkan tidak dapat mendengar.

“Selepas sehari melahirkannya di hospital, kami dibenarkan pulang ke rumah walaupun ujian saringan pendengarannya tidak lulus. Masa itu tidak terfikir apa-apa pun yang buruk. Tambahan pula, kakitangan hospital menjelaskan mungkin ada air di dalam telinga Ming Huen menyebabkan dia tidak dapat mendengar.

“Empat hari selepas itu, kami kembali ke hospital untuk menjalankan pemeriksaan ke atas Ming Huen yang mengalami kuning dan pada masa sama, sekali lagi menjalani ujian pendengaran.
Keputusannya masih sama, tidak lulus,” kata Hooi Sing.

Tidak tenang dengan keputusan itu, pasangan itu bertanyakan pendapat seorang doktor keluarga mengenai kepentingan ujian saringan pendengaran. Doktor berkenaan menasihatkan mereka membuat ujian itu sekali lagi.

Selepas habis pantang, dia dan suami membawa Ming Huen menjalani ujian saringan pendengaran kali ketiga.

“Dua kali ujian lebih teliti dijalankan dan saya amat sedih apabila juruaudio berkenaan secara jujur memaklumkan anak saya tidak dapat mendengar langsung. Dia meminta kami datang sekali lagi untuk membuat ujian menggunakan bunyi yang kuat seperti bunyi kapal terbang tetapi anak kami memang tidak dapat mendengarnya,” katanya sebak sambil menahan air mata yang bergenang.

Menurut juruaudio, anaknya boleh memakai alat bantu pendengaran tetapi ia tidak begitu membantu kecuali menjalani pembedahan implan koklea.

Sebaik tiba di rumah, mereka segera mencari maklumat mengenai implan koklea dan terbaca mengenai pasukan yang menjalankan pembedahan berkenaan. Pasangan itu tekad untuk membawa anak kedua mereka itu bertemu dengan Prof. Goh Bee See.

“Saya terus menghantar mesej kepada doktor dan beliau terus memberikan tarikh temujanji untuk berjumpa dengan beliau. Sementara menunggu untuk dibedah, Ming Huen menggunakan alat bantu pendengaran.

“Alat berkenaan sangat kuat bunyinya bagi kita yang normal tetapi bagi Ming Huen, ia langsung tidak berkesan. Saya jadi tertekan daripada segi mental apabila terpaksa mendengar bunyi berkenaan setiap hari,” katanya.

Namun katanya, dia perlu bersabar demi membiasakan anaknya mendengar sesuatu bunyi supaya tidak terperanjat selepas menjalani pembedahan kelak.

Biarpun takut bila memikirkan proses pembedahan itu tambahan pula anak mereka terlalu kecil, pasangan itu yakin dengan kemampuan pakar di negara ini. Malah ia bukan sesuatu yang baharu kerana ada bayi yang kecil berjaya menjalani pembedahan berkenaan di luar negara.

“Saat menunggunya keluar daripada bilik pembedahan memang cukup menekan perasaan. Tambahan pula tiada sebarang khabar yang diterima mengenai keadaan anak kami di dalam bilik bedah.

“Kami hanya menunggu di wad saja. Bila keluar dari wad, dia dah bangun tapi masih mamai lagi. Dia nampak saya dan tidur semula. Dia terjaga dan minum susu sekejap sebelum tidur semula. Bila tersedar jam tiga petang, dia terus menangis,” katanya.

Katanya apabila pulang ke rumah, Ming Huen aktif seperti biasa seperti tiada apa-apa yang berlaku. Lebih menggembirakan, bayi comel itu sudah mula memberikan tindak balas apabila dipanggil.

Sebelum pembedahan dan menggunakan alat bantu pendengaran, Ming Huen tidak menunjukkan tindak balas apabila dipanggil. Ibu bapanya teruja untuk mendedahkannya dengan pelbagai bunyi setiap hari.

“Kami rasa bertuah dia sudah boleh mendengar tetapi masih perlu banyak lagi belajar pelbagai bunyi. Paling menggembirakan bila dia mula mengeluarkan suara memanggil saya selepas menyedari saya tiada di sisinya.

“Selepas pembedahan, Ming Huen perlu berjumpa audiologi bagi menjalani pemetaan suara dua minggu sekali. Dia juga perlu berjumpa doktor sebulan sekali dan menjalani terapi pertuturan sebulan sekali,” katanya.

Harapan suami isteri itu kini adalah melihat permata hati membesar seperti kanak-kanak normal yang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya