SHAH ALAM: Mahasiswa dan graduan dinasihat merebut segala peluang pekerjaan, berusaha ke arah kebaikan serta berlaku jujur setiap masa kerana semua perkara yang dilakukan dinilai kembali sama ada di dunia mahupun akhirat.
Ini termasuk menghindari sikap tidak amanah dan amalan rasuah serta mengamalkan integriti tinggi dalam dunia pekerjaan.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, agama Islam dan semua agama di dunia mengutuk dan mencela amalan rasuah kerana ia seperti barah yang boleh menghancurkan sebuah tamadun.
“Sejarah kerap kali membuktikan bahawa jatuh atau bangunnya sesebuah negara adalah berkait rapat dengan sikap jujur, amanah dan integriti seperti dalam catatan sejarah melayu, Sulatus Al-Salatin.
“Tun Sri Lanang meriwayatkan bagaimana runtuhnya Kerajaan Melaka yang terbina ratusan tahun lamanya akibat perbuatan rasuah Bendahara Seri Maharaja,” titah Seri Paduka pada istiadat konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam, di sini hari ini.
Yang turut berkenan berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Seri Paduka bertitah, arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan bukan hanya membawa kesan kepada ekonomi tetapi pelbagai impak dari segi sosiobudaya.
“Tanpa kita sedari, fenomena ini turut meninggalkan kesan kepada sifat-sifat terpuji dan nilai-nilai moral sesuatu masyarakat,” titahnya.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menyeru semua institusi pengajian tinggi menerapkan elemen kejujuran, amanah dan integriti dalam setiap jiwa mahasiswa.
Titah Sei Paduak, usaha memperkukuh integriti nasional dan etika amalan kerja yang baik oleh setiap warganegara hendaklah dipupuk dan dibentuk di setiap bilik serta dewan syarahan institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
“Pembudayaan integriti hendaklah wujud dalam setiap jiwa dan sanubari rakyat Malaysia, bermula dari bangku sekolah seterusnya ditanam serta diperkasa ketika di menara gading.
“Sesungguhnya, prasyarat bagi kejayaan sesebuah negara adalah bergantung kepada masyarakat dan tenaga kerja yang jujur, amanah dan berintegriti,” titah Seri Paduka. – UTUSAN