KUALA NERUS: Seorang jemaah orang kurang upaya (OKU) bersyukur kerana doa dan impiannya untuk menunaikan ibadah haji akhirnya dimakbulkan selepas tertangguh sejak dua tahun lalu akibat Covid-19.
Azhar Abd. Aziz, 52, dari Kampung Buluh Gading di Kuala Terengganu bersama isterinya, Juwairiah Wahab, 52, adalah antara 804 jemaah dari negeri ini yang berlepas ke Tanah Suci Mekah, semalam.
Guru Sekolah Menengah Teknik Terengganu itu berkata, walaupun terpaksa berkerusi roda, kepayahan itu tidak melemahkan semangatnya untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
“Sebelum ini badan sihat tetapi tiada rezeki untuk saya dan isteri menunaikan haji sebab penularan Covid-19 pada 2020 walaupun sudah mengikuti kursus dalam talian.
“Akhir tahun lepas saya kemalangan jalan raya hingga patah tulang belakang dan dalam keadaan fizikal yang kekurangan, saya serta isteri bersyukur kerana berpeluang menerima panggilan ke Baitullah,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelepasan Jemaah yang disempurnakan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di sini semalam.
Azhar berkata, sekiranya tawaran itu ditolak, berkemungkinan tiada rezekinya untuk bergelar jemaah haji dalam masa terdekat.
Katanya, selain mereka suami isteri, perjalanan menunaikan ibadah haji turut disertai adik iparnya, Mazni Wahab, 46, dan suami, Fadhil Hussin, 49. – UTUSAN